Belanjawan 2021: Pengusaha bas minta bantuan khas

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) meminta kerajaan menyediakan bantuan khas kepada pengusaha bas dalam Belanjawan 2021 bagi membantu industri itu terus bertahan semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, apabila PKP ditamatkan, industri bas memerlukan tempoh enam hingga 12 bulan bagi mengembalikan keyakinan pengguna untuk menggunakan perkhidmatan tersebut seperti sebelum PKP.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bantuan khas dalam Belanjawan 2021 penting untuk kelangsungan operasi dan menjamin pekerjaan yang berterusan dalam industri berkenaan.

"Bagi bas henti-henti, kami mengemukakan empat cadangan iaitu semua bayaran tertunggak Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti (ISBSF) dan Skim Tranformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) dibayar serta-merta.

Iklan

"Semua bas henti-henti di bawah skim ISBSF ditukarkan kepada SBST dan melanjutkan tempoh kontrak bagi kedua-dua skim ini dari dua tahun kepada lima tahun," katanya dalam satu surat permohonan kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Surat bertarikh 29 Oktober 2020 itu turut menyenaraikan sembilan cadangan dikemukakan PMBOA bagi bas henti-henti, ekspres, persiaran dan pekerja.

Iklan

Antaranya, menyediakan skim kursus latihan percuma kepada mereka yang ingin menjadi pemandu bas atau lori dan pengecualian cukai import serta eskais.

Selain itu, PMBOA meminta elaun modal yang diberikan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dipercepat untuk nilai susut sebenar bas bagi membantu aliran tunai pengusaha bas.

"Kami juga meminta peruntukan satu peratus dari RM5 bilion di bawah Skim Kemudahan Jaminan dalam Pakej Stimulus Ekonomi, diasingkan dan diberikan kepada pengusaha bas korporat bagi membantu mereka membiayai modal kerja.

"Kami juga memohon kerajaan memberikan subsidi menyeluruh sebanyak 75 peratus dari gaji bulanan pekerja pengendali bas dan bayaran one-off sebanyak RM1,000 setiap bas sebulan selama tempoh PKP dan tiga bulan selepas PKP. Selain itu, bayaran sekali sebanyak RM600 kepada semua pemandu bas henti-henti dan ekspres selain pengecualian yuran pemeriksaan berjadual Puspakom sehingga 31 Disember," ujarnya.

PMBOA turut meminta pelepasan yuran pemprosesan permit 2020/2021 oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) bagi membantu mengurangkan kos operasi.