Motosikal roda tiga untuk Pak Wahab ke masjid

Iklan
Pak Wahab bersama motosikal roda tiga yang diterimanya.

DUNGUN - Kegigihan seorang warga emas yang cacat kaki kiri mengayuh basikal lebih 10 tahun ke masjid mencetuskan idea untuk jemaah membelikannya motosikal roda tiga.

Pengerusi Masjid Taman Hadhari, Tengku Amran Tengku Awang berkata, anak kariah mengambil inisiatif melakukan kutipan derma untuk membeli motosikal roda tiga bagi memudahkan Wan Ariffin Wan Ismail, 64, ke masjid yang menjadi rutinnya setiap hari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun jarak kediaman Wan Ariffin atau lebih mesra dengan panggilan Pak Wahab dengan masjid itu dekat tetapi keadaan kakinya membuatkan lelaki warga emas itu mengambil masa agak lama untuk berkayuh.

"Pak Wahab memang rajin ke masjid namun kami sayu melihat kesukarannya berbasikal dengan hanya sebelah kaki. Seorang ahli jawatankuasa mencadangkan membeli sebuah motosikal roda tiga.

Tengku Amran (tiga dari kanan) menyerahkan geran dan motosikal kepada Pak Wahab di Masjid Taman Hadhari, Paka, Dungun.

Iklan

"Kami membuat kutipan dan berjaya mengumpul RM8,500 dalam kalangan jemaah dan dermawan. Kita harap sumbangan ini dapat dimanfaatkan dan memudahkan Pak Wahab ke masjid setiap hari,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Pak Wahab bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan orang ramai terhadapnya.

Iklan

Bapa kepada dua anak itu berkata, kakinya kudung sejak tahun 2000 kerana kemalangan dan agak sukar untuk bergerak namun ia tidak menghalangnya untuk menunaikan solat berjemaah di masjid.

"Alhamdulillah, motosikal roda tiga ini memudahkan saya ke masjid. Sebelum ini memang agak sukar kerana terpaksa mengayuh dengan sebelah kaki. Syukur Alhamdulillah, tidak sangka ada yang bermurah hati membantu meringankan beban saya.

"Saya juga sudah tidak mampu bekerja dengan keadaan dan usia sebegini. Namun kebajikan saya terbela dengan bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan sumbangan orang ramai serta jemaah masjid,” katanya.