KOTA KINABALU - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh memburukkan lagi keadaan sebaliknya beliau harus mencari penyelesaian untuk keamanan berhubung isu keganasan agama di Perancis, baru-baru ini.
Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, sebagai pemimpin dihormati, beliau tidak boleh memburukkan lagi keadaan dengan meminta pembalasan dan hal ini tidak memerlukan kekerasan.
"Sebagai seorang bekas Perdana Menteri yang dihormati, beliau harus meminta untuk bertenang dan mencari jalan penyelesaian dalam memastikan keamanan dan meneruskan hubungan diplomatik yang baik.
"Ini penting untuk membendung dan menghapuskan Islamfobia di semua peringkat supaya tindakan keganasan hanya sebagai tindakan keganasan saja dan tindakan itu bukan mewakili agama Islam atau agama lain," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) berkata, kerajaan Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara dan ia adalah hak asasi manusia serta dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab tanpa melanggar hak orang lain.
"Dalam konteks ini, menghina Nabi Muhammad dan mengaitkan Islam dengan keganasan sudah tentu berada di luar hak terbabit.
"Perbuatan itu satu provokasi dan tidak menghormati Islam di mana ada lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia," katanya.
Tambah Anifah lagi, Islam adalah sebuah agama yang damai tetapi dirampas oleh golongan fanatik dan menjadikan alasan untuk melakukan keganasan yang tidak dapat dimaafkan di seluruh dunia.
Beliau berkata lagi, sangat mudah untuk orang bukan Islam fokus pada sebahagian kecil ancaman ekstremis yang dilakukan pelampau tertentu yang mengaku sebagai muslim kepada orang bukan Islam di barat.
"Serangan baru-baru ini di Nice, Paris adalah contoh pelampau yang menggunakan agama sebagai alasan untuk melakukan keganasan.
"Saya ucapkan takziah kepada keluarga dan rakyat Perancis atas serangan yang dahsyat itu, ia pasti akan menjadi perhatian serius dalam perkembangan permusuhan terbuka terhadap umat Islam berikutan kurangnya pemahaman mengenai agama Islam dan orang Islam secara keseluruhan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ciapan Dr Mahathir agungkan keganasan langgar peraturan Twitter