Pikul tanggungjawab sara anak saudara

Iklan
Aimuni (kanan) melihat beca yang digunakan oleh bapanya, Mat Yunan untuk mencari rezeki.

KOTA BHARU - Kasih sayang seorang ibu saudara terhadap anak saudaranya yang ditinggalkan ibu sejak kecil tidak pernah pudar walaupun terpaksa mencari rezeki sendiri.

Siti Nur Aimuni Mat Yunan, 29, tidak pernah menganggap Siti Nur Puteri Balqis Mohd Shamsul Bahari, 7, sebagai beban malah gembira menjaga kanak-kanak itu bersama bapanya, Mat Yunan Hamad, 60.

Iklan
Iklan

Menurut Siti Nur Aimuni, ibu bapa Siti Nur Puteri Balqis atau lebih mesra dipanggil Aisyah pergi tanpa alasan kukuh tetapi dikatakan mahu pulang ke kampung halaman ibu Aisyah di Takbai, namun sehingga kini mereka tidak pulang.

"Selama itulah saya menggalas tugas menjaga dan mendidik Aisyah walaupun tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Iklan

"Ibu bapa Aisyah juga tidak menghantar sebarang berita tetapi saya tetap memegang amanah sebaik mungkin dan sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik kepada anak saudara saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Siti Nur Aimuni memberitahu, sebelum ini dia pernah berniaga namun terpaksa berhenti kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pada masa sama terpaksa menjaga ibu yang sakit.

Iklan

Bagaimanapun, ibunya meninggal dunia 10 hari yang lalu dan dia perlu kembali bekerja untuk menyara bapa dan anak saudaranya itu.

Katanya, lebih memeritkan dia terpaksa membayar sewa rumah RM400 sebulan dan kos itu tidak termasuk makan dan minum mereka sekeluarga.

"Sejak arwah ibu tiada, saya terfikir untuk kembali berniaga tetapi tiada modal untuk memulakan perniagaan.

"Abah pun keluar mengayuh beca untuk mencari rezeki tetapi pendapatan tidak seberapa. Kadangkala pulang dengan tangan kosong. Sebab itu saya perlu bantu abah yang ada masalah kesihatan kronik," katanya.

Siti Nur Aimuni turut menyatakan hasrat untuk berniaga ayam goreng di kawasan pagar salah sebuah sekolah tidak jauh dari rumahnya di Jalan Merbau di sini.

"Saya tiada modal. Kalau ada motosikal roda tiga pun sudah cukup untuk saya membawa barang ke gerai berhampiran sekolah. Saya harap urusan saya untuk kembali berniaga ini dipermudahkan ALLAH. Ini tanggungjawab saya untuk jaga abah dan Aisyah," katanya.

Menurutnya, Aisyah kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Merbau dan perbelanjaan sekolahnya juga dibantu oleh orang ramai.

Aimuni memberitahu, dia mahu berdikari untuk meneruskan kehidupan kerana sebelum ini mereka menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di atas nama arwah ibunya.