SABAH merupakan negeri yang paling teruk berhadapan gelombang baharu ancaman Covid-19 yang bermula awal September lalu dan mungkin memerlukan penilaian semula mengenai kaedah dan cara menguruskannya.
Sehingga 30 Oktober 2020, jumlah mereka yang positif Covid-19 di Sabah ialah 14,519 orang. Ini merangkumi hampir separuh daripada jangkitan Covid-19 di seluruh negara.
Jumlah pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di seluruh negara pada masa kini ialah sekitar 10,000 orang. Yang membimbangkan hampir 80 peratus mereka berada di Sabah. Pada masa ini jumlah pesakit yang masih dirawat dan dikuarantin di Sabah ialah sekitar 8,233 orang.
Jumlah kematian di Sabah juga yang tertinggi iaitu 114 orang (setakat 30 Oktober 2020). Ini merangkumi hampir 45 peratus daripada jumlah kematian akibat pandemik ini di seluruh negara (249 orang).
Walaupun kadar sembuh agak tinggi dan jumlah kematian berbanding jangkitan hanya 0.85 peratus, namun kesukaran mematikan rantaian itu harus diteliti dan diperhatikan secara serius.
Jika keadaan ini berterusan kita mungkin tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang mencukupi untuk merawat pesakit Covid-19 di Sabah.Penularan pandemik Covid-19 di Sabah agak unik berbanding negeri lain kerana terdapat asas untuk mengaitkannya dengan isu keselamatan sempadan negara.
Dalam keadaan kita berjaya mengawal kemasukan pendatang tanpa izin ke Semenanjung dan Sarawak, hal yang sama tidak berlaku di Sabah.
Pendatang tanpa izin
Sempadan laut pantai timur Sabah yang panjang dan jarak yang dekat dengan beberapa pulau Filipina dan Indonesia menyukarkan kawalan dibuat oleh pihak keselamatan.
Dengan jarak sekitar kurang 10 batu nautika (19 kilometer) di antara wilayah laut Malaysia dengan wilayah kepulauan negara Filipina seperti Pulau Tawi-Tawi dan Sibutu, ia menjadikan pantai timur Sabah mudah dicerobohi.Pada 2013, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah ditubuhkan. Pada 2014 pula, ESSCOM telah disusun dan distruktur semula dalam usaha untuk memperkasa peranan dan fungsinya melalui Arahan Eksekutif, Arahan No.1.
Pelbagai agensi keselamatan merangkumi puluhan ribu anggota ditempatkan di pantai timur Sabah membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Ini semua dilakukan oleh kerajaan bagi mengawal keselamatan negara dan juga penduduk Sabah.
Namun kita akan sentiasa berhadapan dengan ancaman luar selagi sebahagian penduduk Sabah sendiri mengambil sikap tidak apa, lepas tangan dan memejam sebelah mata terhadap kemasukan pendatang tanpa izin yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan persahabatan.
Dulu senario ini mungkin dianggap biasa dan boleh dipejam sebelah mata oleh penduduk setempat kerana tidak dianggap sebagai ancaman keselamatan.
Justeru, sudah tiba masanya penduduk Sabah menolak kunjungan secara senyap oleh rakan dan keluarga dari Indonesia dan Filipina tanpa melalui pintu masuk yang sah.
Sudah tiba masanya juga mereka yang mengetahui mengenai kemasukan warga asing tanpa izin melaporkan segera kepada pihak berkuasa walaupun ia mungkin membabitkan jiran dan kenalan tempatan.Sudah tiba masanya rakyat terutama penduduk di pantai timur Sabah membantu pihak keselamatan mengawal pintu masuk negara secara haram dengan memberi maklumat yang cepat terhadap sebarang kemasukan tanpa izin warga asing.Jangan harap kerajaan sahaja jaga kita. Kita juga mesti jaga kita.
* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)