Terdetik belajar agama di malam raya

Iklan
Muhamad Nazrin ketika memberikan kuliah dalam program yang diadakan.

MELIHAT tiada ahli keluarga melanjutkan pengajian agama di peringkat lebih tinggi, Muhamad Nazrin Ihsan tekad membuat keputusan untuk belajar ilmu agama lebih mendalam selepas Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Beliau yang juga Imam I, Surau Muhammad di Taman Tampoi Utama tidak dapat melupakan saat dan ketika dirinya membuat keputusan menyambung pengajian di sekolah pondok ketika berusia 17 tahun.

Iklan
Iklan

"Ibu dan bapa saya nak hantar belajar agama daripada saya tingkatan satu lagi. Saya tak nak. Selepas PMR nak masukkan lagi, pun saya tak nak.

"(Kemudian) masa tu saya nak SPM, malam raya saya ingat lagi. Terfikir, sepupu belah ayah, belah emak tiada seorang belajar agama (di peringkat lebih tinggi).

Iklan

"Esok apa nak jadi. Dekat situ, mula. Jadi habis SPM sahaja, orang tua tanya nak masuk mana. Saya cakap nak pergi pondok. Padahal orang tua nak hantar belajar agama daripada tingkatan satu lagi,” katanya.

Muhamad Nazrin mengagihkan kebab percuma dalam satu program.

Muhamad Nazrin berkata, beliau kemudiannya mendalami ilmu agama khususnya bahasa Arab termasuklah nahu dan sorof di madrasah pondok di Pasir Tumboh, Kelantan.

Iklan

"Sebab kita di Sekolah Tinggi (Kluang) tiada subjek agama. Subjek kita hanya pendidikan Islam. Jadi dekat situ, maka saya ambil inisiatif (mengaji pondok) nak ‘pulun’ belajar bahasa Arab.

"Dua tahun di pondok, ‘polish’ bahasa Arab (dipelajari di sekolah agama),” katanya.

Beliau berkata, selesai pengajian di madrasah tersebut, dia melanjutkan pengajian Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah dan mengikuti Diploma Syariah Islam.

"Kebetulan Pondok Pasir Tumboh terkenal dengan fiqah. Fiqah ini cabang syariah, maka sebab itu saya ke syariah (di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah).

"Masa saya tahun dua diploma, saya ditawarkan oleh Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta. Sebab dekan universiti tersebut adalah kawan.

"Terus buat ijazah, tapi bila fikir Jakarta ini kos sara hidup tinggi dan sebagainya, saya memilih untuk menamatkan pengajian di peringkat diploma terlebih dahulu,” katanya.

Selesai diploma, katanya, rakannya yang juga seorang Ketua Jabatan di Universiti Islam Negeri Sumatera Utara membawa dirinya untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah.

"Di sini, saya (melanjutkan pengajian ijazah) syariah pengkhususan politik dan jinayah. Dipanggil Siyasah Jinayah,” katanya.

Muhamad Nazrin bersama bekas Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsudin (dua, kanan).

Aplikasi ilmu dalam kehidupan

Muhamad Nazrin berkata, tamat pengajian, segala ilmu dipelajari di semua peringkat diaplikasikan dalam kehidupan sehariannya termasuklah sebagai seorang imam dan bekas pentadbir masjid.

Berkongsi pengalaman dan usahanya bersama membantu mengimarahkan Surau Muhammad di Taman Tampoi Utama, katanya, pada mulanya lokasi tersebut belum dinaiktaraf kepada masjid.

"Saya masa itu membantu di Masjid Kampung Pasir, kemudian diminta jawatankuasa surau untuk hadir berbincang mengenai beberapa perkara. Maka sejak daripada itu, saya jadi imam di situ.

"Membantu kariah di situ. Syukur sejak saya hadir, dengan pendekatan yang saya bawa, jemaah meningkat. Kemudian tarawih pun penuh.

"Tahun pertama uruskan, surau itu penuh ketika tarawih. Kemudian, buat Maulidur Rasul, korban dan kuliah. Masa itu makin aktif dan makin ramai. Sehinggalah satu ketika penghulu mukim cadang surau dinaiktaraf,” katanya.

Beliau yang juga pernah bergelar seorang mutawif berkata, cadangan naik taraf tersebut hadir kerana masjid berdekatan sudah tidak boleh menampung kepadatan jemaah apabila solat Jumaat.

"Kemudian saya dan jawatankuasa surau buat surat seterusnya dihantar ke Jabatan Mufti Johor. Syukur diluluskan permohonan untuk dinaiktaraf,” katanya.

Perkasa surau yang ada

Selain itu, beliau turut mengajak umat Islam untuk memperkasakan surau-surau yang ada, termasuklah dari sudut kekuatan kewangan agar pelbagai aktiviti dapat dijalankan seperti kuliah.

"Saya lebih suka menyeru dalam kuliah saya, kalau nak menyumbang beri ke surau. Kita kena bantu surau-surau. Sekurang-kurangnya boleh bayar bil utiliti.

"Boleh buat kuliah atau majlis ilmu seminggu sekali. Lebih penting isi kandungan kuliah disampaikan yang mampu menarik minat kariah atau jemaah untuk menghadiri aktiviti dianjurkan,” katanya.

Bagi membantu lebih ramai kariah hadir ke kuliah dan majlis agama, Muhamad Nazrin berpandangan penceramah atau pengajar diseru memberikan keutamaan terhadap isi kandungan yang mahu disampaikan.

Katanya, penceramah atau pengajar perlu lebih peka berkaitan isi kandungan sesuatu ilmu yang disampaikan dan dikaitkan dengan isu semasa melibatkan masyarakat sekeliling.

"Contohnya isu GST. Ulas sahaja apa pandangan Islam tentang GST dan cukai dalam Islam. Dengan secara sendirinya orang boleh fikir tentang ini.

"Kerana itulah yang perlu dididik kepada masyarakat. Kembali semula al-Quran dan Sunnah. Dengan kuliah itulah kita beri kefahaman kepada jemaah dan menjadikan majlis ilmu kita lebih segar,” katanya.