Pulau Tengah jadi tumpuan pelancong domestik

Iklan
Jadi lokasi tumpuan selepas tular di laman media sosial ‘gara-gara’ penularan pandemik Covid-19 pada Mac lalu di mana pintu sempadan negara ditutup yang menyebabkan masyarakat mengambil peluang ‘menerokai’ lokasi ekopelancongan dalam negeri.
 - Foto Bernama

KOTA BHARU - Pintu sempadan negara yang ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lepas, seolah memberi ‘sinar’ baharu bagi penduduk di Kampung Pulau Tengah, Kubang Kerian, dekat sini, apabila menerima kehadiran pengunjung yang agak ‘luar biasa’.

Sebelum ini, kawasan itu hanyalah sebuah perkampungan yang tiada keistimewaan malah ‘terpinggir’ daripada pembangunan tetapi kini ia seakan mencetus fenomena baharu apabila semakin menjadi tumpuan orang ramai selepas tular di laman media sosial sejak sebulan lalu sebagai destinasi ekopelancongan domestik.

Iklan
Iklan

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Komuniti Penduduk Kampung Pulau Tengah, Mohd Hishammudin Ghazali, 38 berkata, dahulunya kampung itu hanya diceriakan aktiviti penduduk kampung sahaja, namun, kini lokasi itu yang mempunyai keindahan alam semula jadi mampu menarik kehadiran pengunjung sehingga mencecah lebih 500 orang sehari pada hujung minggu.

Katanya, pertambahan pengunjung yang luar biasa itu bukan sahaja memberikan kelebihan kepada Kampung Pulau Tengah yang menawarkan kombinasi ekopelancongan, agropelancongan serta pelancongan desa, sekali gus menjadi lubuk rezeki bagi penduduk di kampung berkenaan.

Iklan

Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk para pengunjung menikmati keunikan di Kampung Pulau Tengah antaranya merentasi denai Sungai Pengkalan Datu melalui jambatan sejauh satu kilometer (km), menikmati hidangan makanan di atas pokok setinggi kira-kira 10 meter, menyusuri sungai dengan menaiki bot, melawat taman kelip-kelip serta ladang lebah kelulut, menuai nira nipah dan mengutip lokan.

Mengulas lanjut, Mohd Hishammudin yang juga pemilik Mentari Bee Island berkata, melalui aktiviti menyusuri sungai dengan menaiki bot, pengunjung berpeluang melewati tiga kampung sejauh tiga kilometer iaitu dari Kampung Pulau Tengah hingga ke Kampung Pulau Melaka melihat aktiviti komuniti setempat serta menikmati keindahan alam semula jadi di Sungai Pengkalan Datu.

Iklan

Katanya, setakat ini terdapat tiga bot yang disediakan penduduk kampung dan ia dapat menampung permintaan seramai 18 penumpang pada setiap masa dengan kadar bayaran yang dikenakan antara RM10 hingga RM15 bermula seawal jam 10 pagi hingga 6.30 petang.

"Pengunjung berpeluang melihat aktiviti komuniti setempat seperti menuai nira nipah, mengutip lokan, menangkap ketam nipah, melihat sangkar ikan siakap serta kerapu dan sebagainya. Malah, pihak kami juga dalam perancangan untuk menambah jumlah bot bergantung kepada permintaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pulau Tengah di sini.

Para pengunjung menikmati makanan dan pemandangan di Restoran Astacona Riverview di sepanjang Sungai Pengkalan Datu di Kampung Pulau Tengah, Kubang Kerian. - Foto Bernama

Ujarnya lagi, bagi taman kelip-kelip ia dibuka bermula jam 8.30 malam sehingga 10.30 malam pada setiap hari kecuali ditutup pada hari Selasa dan Khamis yang terletak 200 meter dari Kampung Pulau Tengah dengan kadar bayaran bermula RM10 hingga RM15 dengan menaiki perahu.

"Kampung Pulau Tengah ini mempunyai hutan yang masih dipelihara dengan baik, oleh itu pengunjung berpeluang merasai pengalaman melihat kelip-kelip sekitar tempoh satu jam dengan menaiki perahu,” katanya.

Sementara itu, pemilik Restoran Astacona Riverview Island Mohd Zaini Mat Rawi, 49 berkata, beliau mencipta kelainan bagi menarik kedatangan pengunjung dengan menawarkan peluang kepada mereka untuk menikmati hidangan di atas pokok setinggi hampir 10 meter.

Mohd Zaini berkata, restorannya mula bertapak sejak lima tahun lalu dengan kehadiran hanya 50 orang pelanggan sehari, namun kini ia mencecah berkali ganda sehingga 400 pelanggan sehari sejak tempat itu tular sebulan lalu.

"Bagi menjaga keselamatan, hanya dua orang pelanggan sahaja dibenarkan menikmati hidangan atas pokok untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini, malah pengunjung juga berpeluang untuk menaiki menara itu bagi melihat pemandangan dari atas dengan kadar bayaran RM1 seorang dengan had masa 30 minit.

"Selepas Kampung Pulau Tengah ini tular, pendapatan peniaga di sekitar kampung ini mampu mencecah sehingga RM1,000 sehari dan ia satu perkembangan baik yang dilihat mampu menjadi sumber pendapatan kepada penduduk di kampung ini,” katanya.

Seorang pengunjung, Noor Sofea Qistina Abdul Rahman, 29 berkata, dia mengambil peluang untuk merasai sendiri pengalaman merentasi denai sungai menerusi jambatan sejauh satu kilometer selepas melihat ia tular di Facebook.

"Saya sangat teruja apabila mengetahui masih wujud lokasi yang menjaga keindahan sungai dan hutan seperti ini malah inisiatif mewujudkan jambatan sejauh satu kilometer ini adalah sangat baik sekali gus dapat menjadi tarikan pelancong di negeri Kelantan,” katanya. - Bernama