Dikejar hingga ke kubur

Iklan
Suspek ditahan di tanah perkuburan Masjid Al-Ridwan selepas dikejar orang awam hampir satu kilometer di Parit Buntar semalam. - Foto Ihsan Pembaca

PARIT BUNTAR - Seorang lelaki yang dipercayai memecah masuk sebuah restoran di Taman Kerian Permai, di sini semalam berjaya dicekup orang awam selepas dikejar hampir satu kilometer dari lokasi tersebut.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu disedari oleh sekumpulan lelaki yang kebetulan terlihat suspek yang berusia 33 tahun berada dalam keadaan mencurigakan memasuki premis milik rakan mereka yang belum beroperasi ketika itu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian terbabit yang turut tular di media sosial.

Menurutnya, suspek ditahan di kawasan Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridwan berhampiran.

Iklan

"Berdasarkan keterangan, pengadu dan rakannya memerhatikan suspek yang berada di dalam premis tersebut sebelum suspek melarikan diri melalui pintu depan.

"Suspek dikejar hingga ke tanah perkuburan berkenaan dan akhirnya berjaya ditangkap. Mereka kemudiannya telah menghubungi Balai Polis Parit Buntar bagi memaklumkan kejadian," katanya.

Iklan

Mazuki berkata, anggota peronda polis yang tiba telah membuat tangkapan semula terhadap suspek dan pemeriksaan menemui wang kertas dan syiling anggaran RM220.

"Kawasan kejadian juga tidak mempunyai pengawasan kamera litar tertutup (CCTV).

"Permohonan reman akan dilakukan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah rumah," katanya.