Belanjawan 2021 disifatkan 'bajet berani', kata Saifuddin

Iklan
Saifuddin Abdullah

SHAH ALAM - Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini disifatkan sebagai ‘bajet berani’, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, belanjawan pada kali ini bakal menyaksikan hala tuju negara dalam menyelesaikan krisis pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara.

Iklan
Iklan

"Saya yakin bajet kali ini ialah bajet berani kerana saya fikir ini bukan masanya untuk memastikan defisit kecil, surplus besar. Ini bukan isunya.

"Berani bermaksud kalau perlu berhutang... hutanglah. Beritahu kepada kementerian, projek A tidak boleh (dilaksanakan), projek B boleh, projek C kena tangguh.

Iklan

"Bajet kali ini adalah bajet yang betul-betul serius kerana masalah (Covid-19) di depan kita sekarang sangat meruncing dan luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program temu bual khas Astro Awani bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, pagi tadi.

Iklan

Menurutnya, pandemik Covid-19 ini memberi hikmah apabila semua pemimpin termasuk pembangkang diberi peluang untuk mencadangkan dasar alternatif supaya menjadi sebahagian daripada Belanjawan 2021.

"Ini satu hikmah daripada masalah yang dihadapi sekarang. Mungkin ini satu kesempatan untuk ahli-ahli politik melupakan perbezaan kerana sebelum ini sukar untuk berbincang.

"Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengadakan pertemuan libat urus dengan pemimpin pelbagai parti politik dalam usaha merangka Belanjawan 2021. Ini satu jendela yang membuka politik baharu dan demokrasi yang lebih matang,” katanya.

Saifuddin pada program temu bual khas Astro Awani bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, pagi tadi.

Justeru, beliau menggesa semua wakil rakyat membahaskan Belanjawan 2021 dengan berhemah.

"Saya fikir perbahasan tetap panas dan seharusnya begitu. Kita kritiklah, bukan kutuk. Beza kritik dengan kutuk. Kritiklah sebaik-baiknya dan cari kebaikan daripada Bajet 2021 ini,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai langkah kerajaan dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Ahli Parlimen Temerloh itu berpandangan, demokrasi tidak dapat dipenuhi dengan sebaik mungkin jika prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan dipertingkatkan.

Katanya, kerajaan mempertimbangkan perintah darurat di kawasan-kawasan tertentu untuk menangguhkan pilihan raya, dan bukan demi kepentingan politik.

"Kita hendak pilihan raya itu bebas dan adil serta terbuka yang mungkin. Itu hasrat demokrasi tetapi jika banyak sangat SOP dan kawalan, masihkah demokrasi itu terpelihara dalam konteks pilihan raya terkawal.

"Nanti kerajaan juga yang akan dipersalahkan. Mungkin boleh diadakan pilihan raya selepas Covid-19 selesai,” katanya.