PERDANA Menteri United Kingdom, Boris Johnson mengesahkan bahawa saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan semua aktiviti sukan elit akan dikecualikan daripada sekatan akibat perintah berkurung yang diumumkan hujung minggu lalu.
Johnson berkata, perintah berkurung berkenaan tidak akan mempengaruhi saingan EPL biarpun berlaku peningkatan ketara bagi kes Covid-19 di tanah besar berkenaan dengan 20,000 kes positif dilaporkan sejak 10 hari lalu.
"Saingan EPL sebelum ini pernah dihentikan selama empat bulan akibat pandemik Covid-19 sejak 12 Mac 2020 sebelum bersambung kembali mulai 17 Jun 2020.
"Bagaimanapun, setakat ini kita benarkan saingan EPL untuk diteruskan di sebalik perintah berkurung yang dilaksanakan mulai 29 Oktober hingga 2 Disember kelak.
"Oleh itu kita juga tegaskan buat masa ini tidak ada risiko untuk mengambil langkah sama (teruskan EPL) di sebalik keadaan semasa (pandemik Covid-19),” katanya.
Johnson berkata demikian dalam satu sidang media berikutan kerajaan akan melaksanakan semula perintah berkurung (lockdown) berikutan peningkatan kes Covid-19 khususnya menerusi gelombang kedua ketika ini,
Perintah berkurung berkenaan sekali gus akan menutup banyak perniagaan selain menghadkan pergerakan orang ramai dalam usaha mengurangkan penularan Covid-19.
Sementara itu Setiausaha Digital, Kebudayaan, Media dan Sukan Oliver Dowden mengesahkan aktiviti sukan pada peringkat tertinggi tidak akan terkesan dengan penularan wabak berkenaan (Covid-19).
"Perubahan ini memberi makan untuk orang ramai perlu bekerja dari rumah atau dari lokasi yang bersesuaian.
"Bagi lokasi yang tidak bersesuaian pula, ia memerlukan kebenaran. Ini termasuklah aktiviti-aktiviti sukan elit ini yang dilangsungkan di lokasi (stadium/gelanggang) tertutup,” katanya.