Tak bimbang kritikan media: Adly

Iklan
Adly bersama sebahagian pengamal media di negeri Melaka.

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka tidak akan sesekali bimbang dengan kritikan media kerana akan melihat sesuatu kritikan itu dari sudut positif.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kritikan itu sebenarnya perlu bagi membolehkan pihaknya menambah baik dan meningkatkan kualiti dalam segala hal termasuk dari segi perkhidmatan, kecekapan dan sebagainya lebih-lebih lagi yang melibatkan isu rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di bawah kerajaan PH juga akan terus mengamalkan sikap terbuka dan tidak mudah untuk memulaukan mana-mana pengamal media walaupun ada yang cenderung ke arah pembangkang kerana memahami tugasan pengamal media itu untuk menyampaikan sesuatu berita kepada masyarakat dengan memastikan fakta dan info yang tepat.

"Kita terbuka untuk media menyalurkan pandangan dan aduan masyarakat kepada kerajaan negeri agar masalah dapat diselesaikan segera.

Iklan

"Kerajaan negeri sebaik mungkin mahu memberikan kebebasan kepada media untuk salur maklumat dan pada masa sama kita sentiasa berharap media dapat menyalurkan maklumat kerajaan ini kepada orang ramai," katanya.

Adly berkata demikian selepas majlis Ramah Mesra Media bersama Ketua Menteri di Ayer Keroh.

Iklan

Hadir sama Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee.

Adly berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan sumbangan media dalam melaporkan berita sepanjang lebih lapan bulan kerajaan PH mentadbir.

"Usaha media amat disanjung tinggi dalam memberi liputan menyeluruh kepada semua berita berkaitan kerajaan negeri yang secara tak langsung membantu menyebarkan maklumat, polisi serta dasar baharu kerajaan kepada khalayak," katanya.

Dalam pada itu selain majlis makan malam, turut diadakan sesi dialog antara pengamal media Melaka dengan Adly.