SHAH ALAM- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau terlibat dalam rundingan untuk membentuk kerajaan perpaduan seperti didakwa susulan gambar pertemuannya dengan beberapa pemimpin tular minggu lalu.
Memetik laporan portal freemalaysiatoday, beliau yang juga Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, ini termasuk pertemuan dengan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang dianggapnya sebagai pertemuan biasa antara rakan.
"Ku Li (Tengku Razaleigh) dulu dalam Kabinet saya. Dia nak jumpa takkan kata tak boleh.
"Mat Sabu (Mohamad Sabu) ini dia selalu datang. Dia jumpa saya tanya pasal politik,” katanya pada program Pejuang di Langkawi malam tadi.
Bulan lalu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi dikatakan masih berusaha mengetengahkan idea kerajaan perpaduan selepas gambar pertemuannya dengan Tengku Razaleigh dan Mohamad Sabu dimuat naik di laman sosial.
Sumber yang rapat dengan Dr Mahathir mendakwa, perbincangan itu menyentuh cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan.
Turut dimuat naik gambar pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, pertemuan dengan Zulkifli juga dianggap sebagai biasa.
"Saya jumpa Zulkifli sebab kenal dia dah lama dah. Dulu jadi Mufti Kuala Lumpur.
"Jadi memang kenal dengan dia. Dia datang tunjuk kepada saya buku-buku yang dia tulis berkenaan dengan Covid-19. Itu lah,” katanya.
Dr Mahathir menegaskan tiada perbincangan mengenai kerajaan perpaduan dengan pemimpin seperti Mohamad Sabu kerana mendakwa usaha itu dihalang individu tertentu.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak menjelaskan siapakah individu dimaksudkan itu.
Dr Mahathir pertama kali mencadangkan kerajaan perpaduan bagi menyelesaikan kemelut politik ketika beliau menggalas jawatan Perdana Menteri Interim selepas peletakan jawatannya pada Februari lalu.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan semua ahli politik berhenti bermain politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berharap Pejuang dapat didaftarkan dan tiada mainan politik daripada kerajaan.
"Tindakan nak halang parti tak setuju dengan kerajaan adalah tindakan politik. Kita sikit sahaja, kebanyakan bukan wakil rakyat,” katanya.
Jumaat lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) memaklumkan permohonan Pejuang belum dapat diselesaikan kerana masih dalam penelitian dan semakan.
RoS berkata, berdasarkan rekod jabatan sehingga 29 Oktober, permohonan Pejuang belum diselesaikan sepenuhnya dan masih berada dalam sistem eROSES.