Pengendali Leeds United Marcelo Bielsa mendedahkan dia agak kecewa dengan keputusan kerajaan untuk terus ‘tidak membenarkan’ kehadiran penonton bagi menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bielsa berkata, keputusan berkenaan sekali gus bakal menyaksikan 40,000 tempat duduk di Elland Road akan ‘kosong’ dan dipenuhi dan berlatarkan kain rentang ketika skuad kendaliannya itu melayan kunjungan Leicester City awal pagi nanti.
Menurutnya, keadaan itu dijangka akan berterusan biarpun kelab berkenaan telah pun melaksanakan arahan khususnya dari segi penjagaan jarak antara penonton.
"Saya kecewa kerana hingga sekarang penonton tidak dibenarkan hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak.
"Keadaan ini pastinya akan mengurangkan keseronokan menonton perlawanan bola sepak; namun ia hanyalah pandangan saya kerana tidak ada bezanya untuk perlawanan bola sepak berlangsung dengan kehadiran atau tanpa kehadiran penonton.
"Cumanya dengan kehadiran penonton, ia mampu meningkatkan keseronokan tontonan kepada perlawanan dan memberikan nilai tambah pada perlawanan berkenaan,” katanya.
Untuk rekod, Leeds United kini berada pada kedudukan kesembilan dengan 10 mata hasil tiga kemenangan, seri sekali dan tewas sekali daripada enam perlawanan manakala Leicester City berada pada kedudukan keenam dengan 12 mata hasil empat kemenangan dan tewas dua kali daripada enam perlawanan.
Sementara itu Bielsa berkata, kehadiran penonton ke stadium sememangnya diperlukan kerana selain membantu menyemarakkan semangat kesebelasan pemain untuk beraksi.
Malah, ia (kehadiran penonton), akan menjadikan sesuatu perlawanan itu lebih menarik.
"Anda perlu ada ‘hubungan’ antara pemain dah penyokong dan keadaan itu tidak sama bagi pemain apabila tidak ada kehadiran penonton dalam satu-satu perlawanan.
"Secara keseluruhannya, bola sepak adalah ibarat satu majlis keraian dan ia (majlis keraian) agak sukar diadakan khususnya dalam keadaan sekarang,” katanya.