SHAH ALAM - Hasil kajian Ilham Centre bersama Penang Institute mendapati hampir 60 peratus masyarakat Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH selepas hampir 10 bulan mengambil alih pentadbiran negara.
Kajian itu turut mendapati kebanyakan rakyat tidak mempercayai kerajaan baharu itu serius untuk mempertahankan ‘Agenda Melayu dan Islam’ selaku agama rasmi di negara ini.
Dapatan itu diperoleh menerusi kajian dijalankan dalam bentuk tinjauan secara rentasan (cross-sectional survey) ke atas 2,614 responden bagi tempoh 24 Oktober hingga 24 Disember tahun lalu.
Responden itu melibatkan masyarakat Melayu di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang mewakili semua jantina, kumpulan umur dan tahap sosio ekonomi.
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, antara faktor menyumbang kepada peratusan itu ialah rakyat kurang yakin dengan kemampuan kerajaan mempertahankan hak mereka.
"Mereka bimbang dan khuatir sama ada kerajaan sekarang boleh atau tidak mempertahankan hakhak dan keistimewaan orang Melayu serta kesucian agama Islam.
"Ia mungkin disebabkan naratif Islam dibawa oleh PH juga sukar difahami orang Melayu kerana falsafahnya terlalu dalam.
Perkara itu dapat dilihat dengan maklum balas diperoleh melalui beberapa perkara utama, antaranya nasionalisme Melayu berbanding gagasan bangsa Malaysia atau nasionalisme sivik Malaysia.
"Nasionalisme Muslim berbanding dengan keberadaan masyarakat majmuk, ketuanan Muslim berbanding dengan kebebasan agama bagi golongan bukan Muslim, demokrasi berbanding dengan authoritarianisme dan campur tangan kerajaan dalam ekonomi berbanding dengan pasaran bebas,” katanya.
Mohd Yusri yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, faktor lain turut mempengaruhi responden ialah harga barang masih belum turun walaupun cukai GST telah dihapuskan kerajaan PH.
"Dalam masa sama, harga komoditi yang membentuk ekonomi teras orang Melayu seperti sawit, getah dan kelapa merudum menyebabkan orang Melayu semakin susah.
"Perkara ini perlu diteliti dan dinilai kerajaan kerana ia kebimbangan jelas yang ditunjukkan rakyat,” katanya.
Hasil kajian itu juga mendapati lebih separuh responden percaya PH mampu bertahan lebih daripada satu penggal dalam mentadbir negara.