BENTONG - Menggerunkan dan tempat menghukum pesalah, itu antara label diberikan kepada penjara.
Bagaimanapun perubahan ketara dalam pelbagai aspek, struktur serta pemulihan di dalam dan luar penjara mengubah hakikat itu.
Kebanyakan banduan juga sudah insaf daripada kesilapan lalu.
Mereka yang menjalani hukuman penjara pastinya merindui kehidupan bersama keluarga dan kebebasan dinikmati sebelum ini.
Begitu juga penghuni Penjara Bentong yang hanya ingin dikenali sebagai Zam, 34,.
Katanya, kemeriahan menyambut hari raya adalah saat paling dirindui banduan beragama Islam.
Di saat insan lain menikmati suasana gembira itu bersama keluarga tercinta, mereka yang di sebalik tirai besi ini terpaksa berjauhan dengan suami atau isteri dan anak-anak.
"Suasana yang paling saya rindui adalah bersama keluarga khususnya pada hari raya. Dalam penjara jauh berbeza kerana di sini saya hanya beraya seorang diri.
"Perbuatan tanpa berfikir boleh menyebabkan masa depan gelap, tak guna nak menyesal.
"Saya nasihatkan anak muda jangan lakukan sesuatu terburu-buru tanpa berfikir terlebih dahulu, jika tidak akan menyesal kelak,” katanya kepada Sinar Harian.
Zam berkata, sejak meringkuk di penjara, dia banyak mendalami ilmu agama.
Malah katanya, dia banyak mendedahkan diri dengan program pemulihan yang dianjurkan oleh Jabatan Penjara.
"Kesalahan lalu banyak menyedarkan saya dan rakan-rakan. Di sini kami diajar supaya melupakan kesalahan lepas.
"Pihak penjara beritahu, kesalahan lepas biarkan berlalu. Kami di sini untuk belajar dan menjadi orang baharu, orang yang lebih berguna.
"Sejak saya di sini, saya berasa lebih tenang dan kehidupan lebih bermakna. Saya lebih menghargai keluarga saya dan orang lain di sekeliling saya," katanya.
Menurutnya, dia dan penghuni lain ibarat satu keluarga besar dan mereka banyak membantu serta membimbingnya ke arah yang lebih baik.
Mulakan hidup baharu
Seorang lagi banduan, Awang, 38, berkata, dia bertekad ingin memulakan hidup baharu bersama-sama anak-anaknya setelah dibebaskan kelak.
"Saya tak tahu hendak gambarkan bagaimana rasa rindu saya pada anak-anak yang masih perlukan kasih sayang dan perhatian daripada saya dan isteri.
"Atas kesilapan yang saya lakukan, kami anak-beranak terpaksa berpisah sementara walaupun terpaksa menanggung rasa rindu yang menggunung,” katanya.
Dia turut menasihatkan masyarakat khususnya belia supaya tidak terjebak dengan perbuatan jenayah yang boleh menjadikan masa depan mereka gelap dan harapan punah.
"Kalau nak buat jenayah tu, fikirkanlah secara mendalam kerana masa tidak dapat diundurkan.
"Jenayah ini akan menjadikan kita tidak dipandang mulia dan hina di sisi masyarakat," katanya
Ad, 42, yang kini menjalani hukuman penjara kerana membunuh berkata, segala-galanya akan menjadi sukar buatnya sekiranya tidak mempunyai sokongan keluarga.
"Alhamdulillah syukur kepada ALLAH, ibu bapa dan keluarga saya banyak memberi dorongan dan sokongan.
"Pengalaman di penjara banyak mengajar saya menjadi seorang yang lebih penyabar dan menghargai kebebasan di luar sana.
"Sebagai manusia kita kena ada sifat memaafkan satu sama lain, jika selalu ikut hati inilah akibatnya, kita kena bayar dengan setiap kesilapan yang dilakukan,” katanya.