Budak tunggang basikal maut dilanggar kereta

Iklan
PDRM

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun maut selepas basikal ditunggang dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Kebangsaan Che Latif Kuala Besar, di sini, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 3.45 petang menyebabkan mangsa, Wan Adi Airiel Wan Azman mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta meninggal dunia di Klinik Kesihatan Badang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang jurujual wanita berusia 23 tahun .

Katanya, sebelum kejadian itu, pemandu kereta berkenaan memandu dari arah Kuala Besar menghala ke Kota Bharu dan menyedari kanak-kanak terbabit menunggang basikal di arah laluannya. Bagaimanapun, secara tiba-tiba mangsa melintas dari kiri ke kanan jalan.

"Pemandu tidak sempat mengelak atau menekan brek menyebabkan terlanggar mangsa,” katanya.