PUTRAJAYA - Dua daripada 881 kedai makan yang diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) didapati menggunakan jenama lain tidak seperti tertera di menu.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman dalam kenyataannya berkata, kedai tersebut memberikan jenama lain dengan kualiti berbeza daripada dikehendaki pelanggan.
Menurutnya, perlakuan itu jelas menunjukkan penggunaan perihal dagangan palsu pada barangan atau makanan yang ditawarkan oleh peniaga mahupun restoran.
"Penyataan pada menu makanan sama ada di meja atau di dinding restoran adalah satu bentuk perihal dagangan yang dirujuk oleh pengguna untuk mendapatkan maklumat sebelum memesan sesuatu makanan dan minuman.
"Perihal dagangan palsu dan mengelirukan yang diberikan kepada pengguna adalah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.
Mengulas lanjut, Iskandar Halim berkata, sejak kebelakangan ini, pihaknya menerima aduan daripada pengguna berhubung perkara itu.
Susulan itu katanya, pada 7 Oktober lalu, anggota penguat kuasa di seluruh negara diarah untuk menjalankan pemeriksaan di premis-premis restoran bagi memastikan pematuhan di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.
Menurutnya, di bawah akta itu, mana-mana orang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan iaitu perihal dagangan sepertimana di bawah Seksyen 6 akta yang sama iaitu perihal dagangan berkenaan jenis atau nama atau kuantiti lain, boleh didenda tidak melebihi RM250,000.
"Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 bagi suatu pertubuhan perbadanan," katanya.