KUALA LUMPUR - Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang dijangka memberi kesan terhadap prestasi ekonomi tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, berdasarkan keadaan semasa, prestasi ekonomi negara dijangka menguncup antara 5.5 peratus hingga 3.5 peratus pada tahun ini
Bagaimanapun katanya, perkembangan terbaharu itu dijangka hanya bersifat sementara kerana ekonomi dijangka berkembang pada tahun depan antara 5.5 peratus hingga 8 peratus.
"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menguncup sebanyak 8.3 peratus dalam tempoh separuh pertama tahun ini.
"Bagaimanapun kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi pada tahun ini adalah bersifat sementara dan dijangka pulih tahun depan," katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawan lisan sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang meminta Muhyiddin menyatakan setakat manakah impak ekonomi daripada pandemik Covid-19 khususnya kepada individu, isi rumah dan syarikat perniagaan serta pelbagai sektor ekonomi negara keseluruhannya serta nyatakan dasar, mekanisme dan langkah untuk memacu ekonomi ke arah berdaya tahan dan mapan.
Mustapa menambah, kerajaan melalui sekretariat majlis gerakan ekonomi sedang memuktamadkan penyediaan pelan pemulihan ekonomi jangka panjang dan Rancangan Malaysia ke-12 akan dibentangkan pada awal tahun depan, kerajaan telah lakukan yang terbaik untuk lindungi rakyat
"Insya- ALLAH ekonomi kita akan pulih, berdaya saing dan mampan bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terbela," katanya.
Terdahulu beliau menyatakan bulan Ogos dan September menunjukkan prestasi ekonomi yang lebih baik berbanding separuh pertama 2020.
"Eksport negara pada September meningkat 13.6 peratus, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 25 peratus, dan jualan kereta penumpang naik 8 peratus, pasaran buruh kekal mencatatkan kadar pengangguran 4.3 peratus," katanya.