Belanjawan 2021 perkenal langkah percepat pemulihan ekonomi

Iklan
Ekonomi negara dijangka kembali pulih dengan langkah-langkah yang telah dan bakal diambil melalui Belanjawan 2021, RMK12 dan dasar-dasar yang berkaitan.

KUALA LUMPUR - Pelbagai langkah bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi dan memelihara kesejahteraan rakyat akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2021, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Malah, sejajar usaha itu, kerajaan melalui Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) juga sedang memuktamadkan penyediaan pelan pemulihan ekonomi jangka panjang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pada masa sama, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi 2021-2025 akan turut diumumkan pada awal tahun depan.

"Insya-ALLAH dengan langkah-langkah yang telah dan bakal diambil melalui Belanjawan 2021, RMK12 dan dasar-dasar yang berkaitan, ekonomi negara akan kembali pulih. Ekonomi kita akan berdaya saing dan mampan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan terbela.

Iklan

"Oleh itu, marilah kita semua tanpa mengira parti untuk bersama-sama memulihkan ekonomi negara dan membela kepentingan rakyat," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BERSATU-Sabak Bernam) yang bertanyakan mengenai impak ekonomi daripada pandemik koronavirus (Covid-19) serta dasar, mekanisme dan langkah untuk memacu ekonomi negara.

Iklan
Mustapa Mohamed

Menjelaskan selanjutnya, Mustapa berkata, pandemik Covid-19 telah memberi impak besar terhadap individu, isi rumah dan syarikat perniagaan serta semua sektor ekonomi dengan skala dan kesannya mengatasi jangkaan manakala ekonomi negara-negara di serata dunia mengalami pengucupan yang ketara.

Beliau berkata, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pertumbuhan ekonomi dunia akan menguncup sebanyak 4.4 peratus - paling teruk sejak Perang Dunia Kedua.

Menurutnya, Malaysia juga tidak terkecuali dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) telah menguncup sebanyak 8.3 peratus pada separuh pertama tahun ini (separuh kedua 2019:4.0 peratus).

"Bagaimanapun, kesan negatif ke atas pertumbuhan ekonomi (negara) pada tahun ini adalah bersifat sementara dan dijangka pulih pada 2021. Beberapa petunjuk ekonomi pada Ogos dan September 2020 telah menunjukkan bahawa prestasi ekonomi adalah lebih baik berbanding dengan separuh pertama 2020.

"Ini termasuk eksport Malaysia pada September 2020 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 13.6 peratus, nilai jualan perdagangan borong dan runcit telah meningkat sebanyak 2.5 peratus pada Ogos 2020 manakala jualan kereta penumpang pula telah meningkat 8 peratus pada September 2020,” katanya.

Selain itu, Mustapa berkata, kerajaan juga telah menubuhkan EAC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menangani isu-isu dan cabaran semasa ekonomi, memantau impak penularan Covid-19 ke atas ekonomi dan merangka langkah-langkah untuk memulih dan merancakkan semula ekonomi negara.

"Sejak penubuhannya, EAC telah mengadakan sebanyak 24 mesyuarat dan pembentangan 48 kertas. Antaranya langkah memulihkan sektor ekonomi yang terjejas seperti pelancongan, pembinaan, peruncitan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain meningkatkan kesejahteraan rakyat, mengurangkan kadar pengangguran dan lain-lain,” katanya. - Bernama