SHAH ALAM - Pegawai Khas yang juga adik kepada Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi dilaporkan positif koronavirus (Covid-19).
Ras Adiba memberitahu, adiknya, Ras Afiona disahkan positif wabak itu selepas menjalani ujian saringan baru-baru ini dan kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.
Susulan itu katanya, beliau dan keluarga menjalani ujian swab serta kuarantin untuk tindakan selanjutnya.
"Untuk makluman semua, saya dan seramai 10 orang ahli keluarga sedang menunggu keputusan saringan Covid-19.
"Di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf sekiranya telah menyusahkan mana-mana pihak susulan kejadian yang menimpa saya dan keluarga," katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dimuat naik di Instagram beliau, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tempoh sidang Dewan Rakyat dipendekkan kerana kebimbangan Covid-19
Katanya, beliau reda dengan apa jua dugaan dan cabaran yang mendatang.
"Saya memohon agar Yang Esa melindungi kita semua dari wabak pandemik Covid-19 ini," katanya.