PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola bersedia untuk aksi bola sepak di England dihentikan sepenuhnya jika perintah berkurung atau 'lockdown' dikuatkuasakan buat kali kedua berikutan peningkatan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini.
Guardiola berkata, semua pihak perlu menerima keadaan itu dalam usaha membendung penularan wabak maut berkenaan.
Malah menurutnya, semua pihak perlu bersedia mematuhi arahan perintah berkurung itu yang dijangka dilaksanakan selama empat minggu.
"Sudah tiba masanya bola sepak perlu menerima takdirnya jika perintah berkurung ini dilaksanakan hingga melibatkan sukan-sukan profesional buat kali kedua di England ekoran pandemik Covid-19.
"Jika kami perlu berhenti, kami akan berhenti. Semua pihak juga perlu akur dengan perintah berkurung buat kali kedua ini nanti.
"Sudah semestinya, kita tidak mahu untuk menjadi berbeza berbanding dengan orang lain khususnya dalam hal seperti ini," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson Sabtu lalu memberi gambaran mengenai kemungkinan perintah berkurung akan dilaksanakan semula di tanah besar itu berikutan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
Bagaimanapun, Johnson berkata, aksi-aksi sukan profesional seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) mungkin akan dibenarkan berlangsung tanpa kehadiran penonton.
Sementara itu Guardiola berkata, aksi tanpa penonton mungkin akan memberikan kesan kepada bidang perniagaan khususnya yang berkaitan dengan sukan.
"Bagaimanapun, saya yakin perniagaan ini akan mendapat kebenaran khas daripada kerajaan United Kingdom," katanya.