Rumah terbakar, anak beranak sempat lari pintu belakang

Iklan
Anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah rumah teres dan lima kenderaan mewah di Bandar Baru Kangkar Pulai, Skudai, Johor Bahru, malam tadi.

JOHOR BAHRU - Seorang pemilik syarikat perkhidmatan pembersihan dan keluarganya selamat dalam kebakaran di rumahnya di Bandar Baru Kangkar Pulai, Skudai dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 3.31 pagi, pemilik syarikat tersebut bersama isteri, dua anak dan orang gajinya menyedari kebakaran di bahagian hadapan rumah.

Iklan
Iklan

Dalam keadaan cemas, mereka melarikan diri menerusi pintu belakang selepas bahagian hadapan rumah tidak dapat dilalui kerana api sudah marak.

Menurut Komander Operasinya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Riduan Akhyar, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai serta BBP Pekan Nenas, Pontian dikejarkan ke tempat kejadian dibantu tiga jentera Fire Rescue Team (FRT) dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Iklan
Anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah rumah teres dan lima kenderaan mewah di Bandar Baru Kangkar Pulai, Skudai, Johor Bahru, malam tadi.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres jenis kekal berkeluasan 22x70 kaki persegi. Tindakan operasi pemadaman menggunakan empat aliran berukuran 200 kaki dan pancutan sumber air dari tangki pam jentera.

"Kemusnahan kebakaran bangunan sebanyak 60 peratus. Kebakaran turut mengakibatkan kemusnahan empat kenderaan mewah iaitu tiga buah kereta jenis Mercedes-Benz yang terbakar 90 peratus.

Iklan

"Selain itu Perodua Myvi turut terbakar 20 peratus dan sebuah motosikal Harley Davidson terbakar 95 peratus. Sebuah kereta Nissan Navara sempat dialihkan dari lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, sebuah daripada kereta Mercedes-Benz tersebut dibeli sebulan lalu dan terdapat kereta mewah yang terbakar itu baru diselenggara.

Mohamad Riduan berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan manakala operasi ditamatkan pada jam 5.02 pagi.