SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tampil dengan 10 cadangan khusus untuk Belanjawan 2021 yang memfokuskan idea dari sudut belia termasuk penciptaan pekerjaan dan sokongan untuk akses kepada pendidikan.
Muda dalam satu kenyataan akhbar hari ini memaklumkan cadangan pertama yang diusulkan adalah untuk melanjutkan moratorium sehingga Jun 2021, disusuli program '1 Keluarga, 1 Laptop' yang menyediakan sebuah komputer riba atau elaun tunai berjumlah RM1,000 bagi setiap keluarga untuk kegunaan pembelajaran atas talian.
Menurut kenyataan itu lagi, bantuan tunai berjumlah RM50 sebulan bagi pelajar universiti sebagai perbelanjaan pembelajaran atas talian bagi tempoh enam bulan akan datang perlu diberikan dan ini selari dengan usaha kerajaan menambahkan 'router internet' mudah alih untuk meluaskan jangkauan ke kawasan yang tiada atau lemah cakupannya.
"Seterusnya bonus dua bulan untuk pekerja barisan hadapan seperti kakitangan perubatan, polis dan tentera perlu diberikan sebagai penghargaan kepada pengorbanan mereka untuk negara selain meningkatkan semangat dalam menangani wabak koronavirus (Covid-19).
"Geran tambahan bagi latihan semula dan naik taraf kemahiran bagi mereka yang kehilangan pekerjaan perlu diwujudkan termasuk menyediakan bantuan serta penempatan pekerjaan (fokus kepada sektor-sektor tenaga boleh diperbaharui)," katanya.
Menurut Muda, cadangan berikutnya adalah berkaitan geran tambahan dan pelepasan cukai untuk perniagaan yang mengutamakan pengambilan pekerja tempatan serta graduan baru selain menggunapakai amalan, contoh dalam mengurangkan pencemaran dan kesan rumah hijau.
Selain itu, program subsidi gaji untuk perniagaan perlu dilanjutkan dari Januari ke Jun 2021 dan pemberian subsidi yang lebih tinggi untuk industri-industri yang terkesan teruk seperti 'food&beverage' (F&B), pelancongan serta penerbangan juga perlu dilaksanakan.
Menerusi kenyataan sama, Muda menegaskan bahawa jaringan keselamatan sosial seperti elaun, dana dan sebagainya diperluaskan untuk komuniti rentan seperti mangsa keganasan rumahtangga, komuniti orang kurang upaya (OKU), artis, seniman serta lain-lain yang terjejas akibat daripada peningkatan mendadak kes Covid-19.
"Turut dicadangkan adalah, peruntukan dana bagi memudah dan menggalakkan pelaburan berkaitan tenaga lestari dan boleh diperbaharui untuk mencipta pekerjaan bernilai tinggi bagi rakyat Malaysia sekaligus bersedia mendepani perubahan iklim.
"Akhir sekali adalah peruntukan dana kawasan Parlimen yang saksama perlu diberikan kepada semua Ahli Parlimen untuk memastikan pengagihan kewangan yang lebih pantas ke kawasan terjejas dan proses desentralisasi bantuan untuk kebaikan rakyat berjalan lancar," katanya.