KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Kerajaan Kelantan berharap kerajaan Persekutuan dapat meneruskan peruntukan lima projek utama di negeri itu dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan nanti.
Projek-projek itu adalah Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baharu antara Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia merupakan keperluan yang perlu diteruskan selain beberapa perkara lain.
"Ada lagi beberapa perkara yang lain, namun selebihnya boleh kita bawa ke Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) selepas ini. Apa yang penting, kalau boleh, janganlah tangguh.
"Selain itu, kita juga berharap agar kerajaan menumpukan perhatian kepada isu Covid-19 dan fokuskan kepada pemulihan ekonomi. Kita akui dua isu ini sangat besar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Amar meluangkan masa selama satu jam melawat Pameran 3 Dekad Pentadbiran Kelantan Membangun Bersama Islam di Muzium Negeri di sini.
Turut hadir, Exco Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman dan Pengarah Muzium Negeri, Ahmad Shargowi Derahman.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai khabar angin yang membayangkan kerajaan negeri akan membawa masuk pemimpin UMNO membarisi Exco Kelantan, Mohd Amar berkata, buat masa ini pihaknya tidak berbincang mengenai isu tersebut.
"Kita tidak sama dengan negeri lain, pentadbiran Kelantan dan Terengganu ini bagaikan rumah yang sudah siap.
"Bukan senang nak rombak rumah yang sudah siap. Silap hari bulan rumah tersebut boleh runtuh. Negeri-negeri lain tidak mengapa, sebab mereka baru saja bina rumah.
"Kita bukan tidak ambil kira kepimpinan UMNO ini. Memang ada yang bagus dalam UMNO. Sebab itu kita tidak menerima pelawaan untuk Exco di Perlis dan Pahang sebab kita tidak mahu usik apa yang sudah ada," katanya.