Henti tangkap ikan nemo

Iklan
Pelancong dan pengusaha pakej pelancongan dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti yang menyebabkan kecederaan dan kematian ikan nemo. Gambar kecil: Dr Liew Hon Jung

KUALA NERUS – Sikap tidak bertanggungjawab pengunjung di pulau-pulau yang berterusan mengganggu, menyentuh, menangkap dan mengusik ikan badut atau lebih dikenali sebagai ikan nemo boleh melenyapkan spesis itu dari perairan negara ini satu hari nanti.

Pensyarah Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Liew Hon Jung berkata, atas sebab itu pelancong dan pengusaha pakej pelancongan dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti yang menyebabkan kecederaan dan kematian ikan nemo.

Iklan
Iklan

"Ikan nemo hanya menjalani kehidupan harian seperti mencari makanan, mengawan, bersosial bersama ikan nemo lain di sekitar ‘sea anemone’ yang merupakan sebuah tempat perlindungan kepada mereka.

"Ikan nemo atau Clownfish tidak seperti ikan tumbu karang lain yang aktif berenang untuk mencari makanan dan mengawan. Secara semula jadi, ikan nemo tidak berenang jauh dari ‘sea anemone’ kerana ia tidak berupaya mengkoordinasi jalan balik ke perumahnya sekiranya dipindahkan atau dibawa pergi ke tempat lain,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas tindakan sekumpulan pelancong yang mengambil gambar dengan memegang ikan nemo di permukaan air di Pulau Rhu, Besut baru-baru ini.

Menurut Dr Hon Jung, perbuatan itu dikhuatiri akan menyebabkan ikan nemo hilang daya upaya untuk mencari jalan balik ke rumah asalnya dan sekiranya ia mendapat ‘sea anemone’ baharu ikan nemo berisiko diusir oleh penghuni asal perumah tersebut.

Iklan

Beliau berkata, ikan nemo dan ‘sea anemone’ hidup secara simbiosis dan saling memberi manfaat dengan ‘sea anemone’ memberi perlindungan kepada ikan nemo daripada diserang oleh pemangsa termasuk manusia dengan mengeluarkan neurotoksin yang mampu melumpuhkan pemangsa.

"Clownfish pula akan berkongsi makanan dengan 'sea anemone' dan ikan nemo akan terdedah dengan ancaman keselamatan dan mungkin mati sekiranya ia kehilangan perlindungan dari ‘sea anemone’.

"Oleh itu nasihat saya, nikmatilah keindahan dan keunikan hidupan laut, tanpa mengganggu ikan nemo supaya hidupan laut sentiasa kekal bersama kita bagi mencapai keseimbangan alam semula jadi,” katanya.