Rakan sekolah kepada mangsa bunuh ditahan

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai remaja yang ditemui mati di rumahnya dalam kejadian Kampung Lubok Batu, Telemong di sini semalam. Gambar kecil: Mohd Adli

HULU TERENGGANU - Polis menahan seorang remaja perempuan, sekali gus membongkar motif kejadian bunuh melibatkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang ditemui mati dalam kejadian samun di Kampung Lubok Batu, Telemong di sini semalam.

Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pendedahan motif kejadian dibuat suspek berusia 19 tahun itu ketika tampil di Balai Polis Telemong di sini pada jam 7.30 pagi tadi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek pada awalnya hadir ke balai polis ditemani ibunya untuk membantu siasatan, namun hasil keterangan diberi remaja terbabit yang bersekolah bersama mangsa dari Tingkatan Satu hingga Lima itu mencurigakan lalu pihaknya membuat tangkapan ke atas suspek untuk siasatan lanjut.

"Hasil pendedahan, suspek memaklumkan dia pergi ke rumah mangsa kira-kira jam 9 pagi dan bersembang di ruang tamu sebelum berlaku perselisihan faham sehingga tercetusnya pergelutan di antara mereka.

Iklan

"Suspek kemudian mengambil sebilah pisau yang ada di ruang tamu sebelum mencederakan mangsa dalam pergelutan itu," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Mohd Adli berkata, hasil penahanan suspek, turut ditemui beberapa barangan milik mangsa dilaporkan hilang termasuk telefon bimbit, wang tunai dan kelengkapan mekap.

Iklan

"Pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek juga mendapati beberapa kesan kecederaan di bahagian badannya.

"Kami juga masih mengesan pisau yang dipercayai digunakan dalam insiden itu dan perintah tahanan reman akan dimohon esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Semalam, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Lubok Batu, Telemong di sini.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Siti Nur Surya Ismail ditemui tertiarap di ruang tamu rumah berkenaan oleh adiknya, Siti Nur Syuhada, 15, yang baru pulang dari sekolah.

Siti Nur Surya dibunuh kejam dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata tajam di beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri.

Ketika kejadian, bapa mangsa tiada di rumah, manakala mangsa yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik sedang menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat kanser otak.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja jaga ibu sakit maut dipercayai dibunuh