1Masjid, 1Polis diseluruh negara mulai Mac

Iklan
Rosli Ab Rahman - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Program 1Masjid 1Polis (1M1P) akan diperluas ke seluruh negara Mac ini dalam usaha mengekang kejadian jenayah dan memastikan kawasan rumah ibadat itu selamat.

Pada masa ini sejumlah 6,047 masjid yang telah didaftar di bawah Majlis Agama Islam Terengganu, Pahang dan beberapa negeri lain telah melaksanakan program itu sejak 2012.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata pihaknya akan melantik pegawai perhubungan di setiap masjid dan menyediakan peti lawatan polis bagi memastikan kehadiran polis sentiasa disedari.

Polis juga akan mewujudkan satu ruangan pada papan notis masjid untuk memuatkan maklumat dan berita tentang kepolisan.

Iklan

"Setakat ini 1M1P dilihat berjaya mengekang jenayah seperti kes curi wang tabung dan curi motosikal di kawasan masjid,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata dalam usaha memastikan kejayaan program kemasyarakatan itu, polis akan melaksanakan beberapa penambahbaikan sekali gus mewujudkan persekitaran selamat, meningkatkan penyaluran maklumat jenayah oleh masyarakat selain meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap polis.

Iklan

Rosli berkata melalui proses pelaksanaan program itu, pegawai perhubungan melakukan lawatan dua kali sebulan untuk mendapatkan maklum balas keselamatan masjid dan maklumat jenayah, lawatan secara berkala serta mengaturkan reaching out yang dihadiri pegawai kanan polis.

Pasukan polis yang terdiri daripada kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang membuat rondaan turut diarah singgah di masjid di kawasan rondaan untuk menunaikan solat berjemaah sebagai usaha mendekatkan pasukan keselamatan dengan masyarakat, katanya.

Beliau berkata program seumpama itu juga akan dikembangkan di rumah ibadat agama lain termasuk gereja dan kuil.

"Polis sering membuat rondaan dan meletakkan peti lawatan polis di rumah ibadat lain namun setakat ini tidak melantik pegawai perhubungan,” katanya.

Sebelum ini terdapat beberapa laporan perbuatan khianat di masjid dengan yang terbaru ialah pada 28 Jan lepas apabila seorang lelaki ditahan kerana dipercayai cuba membakar masjid di Chendering, di Kuala Terengganu menggunakan mancis.

Rosli berkata program 1M1P itu adalah antara inisiatif Polis Diraja Malaysia mendekatkan diri dengan masyarakat melalui beberapa program bersama cegah jenayah dan keselamatan komuniti sekali gus mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan persepsi keselamatan.

"Melalui program kemasyarakatan itu saya dapati pandangan masyarakat kepada polis semakin positif...kalau dulu tengok polis rasa takut, tidak selesa tapi bila kami buat program, kami perhatikan masyarakat juga ingin bersahabat dengan polis,” katanya.

Beliau berkata tahun lepas JPJKK, yang ditubuhkan pada 1 Julai 2014 itu telah melaksanakan 399,429 program dan aktiviti kepolisan komuniti di seluruh negara dengan rangkaian tindakan kerjasama dengan masyarakat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan kolaborasi.

Antara yang dilaksanakan ialah program skuad Aman Wanita (AMANITA) yang menekankan hubungan serta kerjasama anggota polis wanita dengan suri rumah melibatkan 79,862 rakan AMANITA yang berdaftar dan mewujudkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) untuk 2,408 sekolah menengah dan 7,772 sekolah rendah di seluruh negara.

"Kami turut bekerjasama dengan beberapa syarikat swasta seperti Shell dan Petron dalam mewujudkan 942 ‘Go-To-Safety-Points’ iaitu dengan menjadikan stesen minyak sebagai tempat mangsa jenayah mendapatkan pertolongan awal sementara menunggu kedatangan polis,” katanya.