KOTA KINABALU - Kerajaan perlu beri penjelasan dan pertimbangan terperinci sebelum tergesa-gesa membuat keputusan memberikan Permit Kerja Sementara kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi menampung keperluan tenaga buruh dalam sektor perladangan dan perindustrian di seluruh negara.
Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang berkata, ia bagi mengelakkan sebarang implikasi yang menyebabkan lambakan pendatang asing ke negara ini pada masa akan datang.
"Sebelum mengutarakan cadangan ini, kerajaan sekurang-kurangnya terlebih dahulu mempelawa warga tempatan untuk mengisi kekosongan yang ada dalam sektor berkenaan.
"Kerajaan sepatutnya membuat cadangan gaji yang berpatutan dan faedah yang setimpal untuk dinikmati pekerja tempatan sekiranya terlibat dalam sektor ini.
"Saya percaya ia akan menarik ramai belia atau penduduk tempatan bekerja dalam bidang ini terutama dalam keadaan pandemik koronavirus (Covid-19) yang menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan pertimbang beri permit kerja sementara kepada PATI
Pemilik ladang sedia tanggung caj kuarantin Covid-19: MPOA
FGV mahu kurangkan 10 peratus pekerja asing
Utamakan rakyat tempatan kerja sektor ladang, perindustrian
Menurutnya, rakyat Sabah berhak menyuarakan kebimbangan mereka kerana cadangan itu tidak menggambarkan penyelesaian terhadap kehadiran PATI tetapi boleh menyebabkan mereka tinggal lebih lama di negeri ini.
"Lagi pun kita tidak tahu sejauh mana ketelusan pelaksanaan pemberian permit kerja sementara ini nanti. Kita bukan mahu menuduh sesiapa, tetapi Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) sebelum ini telah membuktikan bahawa wujudnya projek kad pengenalan (IC) di Sabah.
"Perkara ini yang kita tidak mahu berlaku lagi dan saya cadangkan biarlah kekosongan itu dibuka kepada warga tempatan dan gaji yang ditawarkan harus setimpal.
"Saya fikir, jika ia dilaksanakan kita dapat selesaikan dan selamatkan dua perkara. Kita dapat elakkan penghalalan mereka yang masuk secara haram ke negeri ini serta kita dapat memberi ruang pekerjaan kepada warga tempatan yang hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga,” katanya.
Felix yang juga Ketua Bahagian UPKO Beluran menyambut baik kenyataan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup supaya kerajaan membuat kajian menyeluruh berhubung cadangan itu.
Untuk rekod, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional(BN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR) pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 berjanji untuk menghantar balik PATI di Sabah sekiranya mereka menang dan memerintah Sabah.
Terdahulu, warga tempatan khususnya di Sabah dilihat menyatakan kebimbangan serius apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan cadangan itu pada Jumaat lalu.
Susulan daripada ia menjadi bualan hangat di media sosial khususnya isu kebanjiran PATI di negeri ini yang masih belum menemui jalan penyelesaian sejak hampir dua dekad yang lalu.