SHAH ALAM - Peratusan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerajui negara ini jauh lebih baik berbanding ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Berdasarkan penyelidikan dijalankan badan pemikir bebas, EMIR Research bagi suku ketiga tahun ini, 43 peratus daripada 2,096 responden di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yakin PN adalah kerajaan yang berkelayakan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Dr Rais Hussin berkata, dalam kajian pada Ogos lalu itu, hanya sembilan peratus tidak bersetuju manakala 48 peratus lagi memilih tidak pasti mengenai kelayakan PN menerajui negara.
Menurutnya, berbanding tinjauan ketika PH memerintah, peratus kepercayaan rakyat terhadap kelayakan kerajaan menurun daripada 24 peratus pada suku keempat 2019 kepada 21 peratus pada suku pertama 2020.
"Kami tidak melakukan tinjauan pada suku kedua tahun ini memandangkan kerajaan PN baharu mengambil alih pentadbiran negara dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac hingga Jun.
"Kajian ini memberi fokus kepada empat perkara utama iaitu kesejahteraan negara, keadaan hidup, isu sosioekonomi dan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, dalam tinjauan terbaru itu juga mendapati sebanyak 38 peratus responden yakin hala tuju negara berada di landasan yang betul manakala lapan peratus tidak bersetuju dan 54 peratus menyatakan tidak pasti.
Menurutnya, mengenai keyakinan rakyat terhadap ekonomi negara sedang diperkukuhkan, 31 peratus bersetuju dan 17 peratus tidak bersetuju serta 53 peratus tidak pasti.
Bagaimanapun peratusan yang bersetuju mengenai hala tuju dan ekonomi negara itu lebih tinggi berbanding dalam dua tinjauan sebelum ini ketika PH memerintah (suku keempat 2019 dan suku pertama 2020).
"Tindakan kerajaan mengendalikan pandemik Covid-19 turut dipuji, khususnya berkaitan penutupan sempadan, bantuan kecemasan kepada rakyat dan pembayaran hutang.
"Kaum Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak paling ramai yang bersetuju dengan kemampuan kerajaan berbanding kaum lain di negara ini.
"Bukan Bumiputera dilihat lebih pesimis kerana kebanyakan mereka menzahirkan keputusan tidak pasti dalam kajian ini," katanya.