KUALA LUMPUR - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hadir ke Bukit Aman bagi merakam keterangan dalam membantu siasatan polis berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.
Mujahid berkata, siasatan itu adalah susulan laporan yang diterima oleh polis terhadap ucapannya di Parit Buntar, Perak pada Mac lalu.
"Tujuan saya hadir di Bukit Aman adalah untuk membantu siasatan pihak polis, saya akan menunggu proses seterusnya sama ada siasatan ini diteruskan atau tidak,” katanya pada sidang media di hadapan Bukit Aman di sini semalam.
Mujahid hadir bersama peguamnya, Noorazmir Zakaria ke Bukit Aman pada jam 5.35 petang beredar kira-kira satu jam setengah kemudian.
Noorazmir berkata, siasatan terhadap anak guamnya mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
"Sepanjang tempoh temu bual, polis nak tahu apakah maksud sebenar inti pati ucapan Mujahid, beliau telah memberi kerjasama yang baik,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan perkara itu memaklumkan Mujahid dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes yang disiasat pada Mac lalu.
Terdahulu, satu laporan polis dibuat ke atas Mujahid dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung kenyataan mereka mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang pada Mac lalu.