TERLETAK di lokasi yang bersih, tenang dan menarik, Taman Kucing Dungun yang dibina hasil inisiatif Majlis Perbandaran Dungun (MPD) di Taman Rimba Bukit Bauk di sini ibarat syurga bagi kucing jalanan.
Yang Dipertua MPD, Lizan Che Mat berkata, pembinaan Taman Kucing Dungun itu bagi menempatkan kucing-kucing terbiar yang ditangkap menerusi operasi yang dijalankan di lokasi tumpuan awam seperti di kawasan pasar, medan selera dan stesen bas.
Menurutnya, selain sebagai lokasi penempatan kucing, ia juga mampu menjadi daya tarikan baharu di daerah berkenaan.
"Kita ambil inisiatif bina Taman Kucing Dungun untuk menempatkan dan merawat kucing terbiar. Setakat ini, ia telah 70 peratus siap dan dijangka di-rasmikan hujung Disember ini.
"Setakat ini kerja-kerja pembinaan kawasan ini masih 30 peratus belum siap seperti jalan masuk, longkang, pagar dan landskap,” katanya kepada media di sini semalam.
Katanya, Taman Kucing Dungun yang mula diduduki sejak Julai lalu kini mempunyai sebanyak 30 ekor kucing.
"Haiwan ini ditempatkan mengikut kategori kesihatan antaranya wad rawatan ibu dan anak, wad keluarga bahagia, unit pemulihan, unit rawatan rapi dan unit kucing bahagia.
Lizan berkata, pusat yang dikendalikan oleh dua kakitangan MPD itu dianggarkan mampu menempatkan sehingga 150 ekor kucing jalanan, selain terdapat lokasi khas bagi kucing-kucing tersebut bermain.
Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan sumbangan peralatan, makanan, ubat-ubatan dan kewangan bagi menampung keperluan kucing-kucing yang dipelihara di taman berkenaan.
"Kita bercadang untuk membuka lagi sangkar baharu sekiranya kapasiti kucing sedia ada telah penuh, selain mahu memastikan jarak sosial antara pengunjung agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Setakat ini ramai yang datang ke sini untuk melihat kucing-kucing tersebut dan kita tidak mengenakan sebarang bayaran masuk kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, pihaknya akan memberi rawatan perubatan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala di Taman Kucing Dungun.
"Kakitangan MPD yang bertanggungjawab juga akan diberikan kursus untuk menjaga kucing yang ditempatkan di sini supaya mereka boleh menjaga kucing dengan baik terutama dari aspek pemberian vitamin dan rutin penjagaan kebersihan harian haiwan-haiwan tersebut,” katanya.