MENGHENDAKI Agong mengikut kehendak Perdana Menteri (PM) semata-mata dalam isu proklamasi darurat mungkin akan menggalakkan penyalahgunaan peruntukan yang dikhaskan jika benar-benar berlaku darurat besar, malah mungkin melahirkan seorang diktator.
Oleh itu, mengeluarkan proklamasi darurat termasuklah dalam pengecualian apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini. Maka, untuk mengeluarkan proklamasi darurat tidaklah perlu Agong mengikut nasihat Perdana Menteri.
Malangnya, kita berhadapan dengan penghakiman mahkamah. Dalam kes Stephen Kalong Ningkan v. Government of Malaysia (1968)1 MLJ 121) (1 Disember 1967), Barakbah L P dalam penghakiman majoriti bersama-sama Azmi C J (Malaya), H T Ong F J menentang memutuskan bahawa Agong boleh mengisytiharkan darurat sekiranya Seri Paduka berpuas hati.
Tetapi, dalam kes Teh Cheng Poh v. Public Prosecutor (1979) 1 MLJ 50 (11 Disember 1978), Privy Council memutuskan tindakan Agong dalam mengeluarkan proklamasi darurat hendaklah dilakukan atas nasihat Jemaah Menteri seperti yang dikehendaki oleh Perkara 40(1).
Penghakiman Barakbah L P yang dirujuk di atas adalah penghakiman Mahkamah Persekutuan. Pada masa itu, rayuan daripada Mahkamah Persekutuan pergi ke Privy Council.
Oleh itu, mengikut prinsip stare decisis, penghakiman Privy Council itu mengatasi penghakiman Mahkamah Persekutuan. Maka, penghakiman Privy Council itulah yang menjadi undang-undang Malaysia hingga sekarang. Oleh itu, di sisi undang-undang, apa yang dilakukan oleh Agong itu adalah salah.
Bagaimanapun, pada 1 Januari 1978, rayuan kepada Privy Council dalam kes-kes jenayah dan perlembagaan dimansuhkan, manakala rayuan dalam kes sivil dimansuhkan pada 1 Januari 1985.
Selepas Mahkamah Persekutuan (yang dinamakan Mahkamah Agung) menjadi mahkamah tertinggi di Malaysia, kita mengharapkan jika isu yang sama dibawa semula ke Mahkamah Persekutuan, mahkamah itu tidak akan mengikuti keputusan Privy Council tersebut sebaliknya, mengesahkan keputusan Barakbah L P atas alasan yang saya berikan di atas.
Tetapi, Perkara 150 dipinda pula dengan memasukkan Fasal (8):
"(8) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini
(a) Hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan
(b) Tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan
(i) Sesuatu proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1);
Pindaan ini berkuat kuasa mulai 15 Mei 1981. Perlu disebut, pemansuhan rayuan daripada Mahkamah Persekutuan ke Privy Council adalah satu tindakan yang betul. Tidak ada sebab mengapa sebuah negara merdeka mesti mengekalkan rayuan daripada mahkamahnya ke mahkamah bekas penjajahnya.
Hal ini lebih ketara dalam undang-undang perlembagaan. Ia adalah Perlembagaan negara kita yang menentukan hal rakyat, masyarakat, bangsa, agama dan negara semenjak merdeka hingga ke akhir zaman. Mengapa ia perlu ditafsirkan oleh hakim-hakim bekas penjajah mengikut fahaman dan kehendak mereka?
Saya beri satu misalan. Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada kerajaan negeri membuat undang-undang bagi melaksanakan syariah dan menubuh mahkamah syariah.
Peruntukan seperti itu tidak ada dalam undang-undang England. Jika ada cabaran terhadap kesalahan tidak membayar zakat atas alasan ia bercanggah dengan peruntukan Perkara 11 (kebebasan beragama) misalnya, mengapa kita patut menyerahkan tafsiran Perlembagaan Persekutuan itu kepada hakim-hakim England?
Isu yang kita bincang ini pun adalah satu misalan yang baik. Kita mengharapkan ia dapat ditimbang semula oleh Mahkamah Persekutuan setelah rayuan ke Privy Council dimansuhkan.
Tetapi, kita berhadapan pula dengan satu masalah baharu. Kita memansuhkan rayuan ke Privy Council kerana kita hendak menentukan hala tuju undang-undang kita sendiri. Kes Teh Cheng Poh adalah kes terakhir diputuskan Privy Council.
Apa yang terjadi sekarang?
Akibatnya, oleh sebab hal puas hati (atau tidak puas hati) Agong tidak boleh dipersoalkan lagi di mahkamah, maka keputusan itu mengikat kita sampai bila-bila.
Saya tidak fikir keadaan seperti itu boleh diterima. Kita sepatutnya boleh menentukan undang-udang kita sendiri, bukan terikat dengan penghakiman Privy Council selama-lamanya.
Kita rumuskan semula kedudukannya. Penghakiman majoriti Mahkamah Persekutuan mengatakan untuk mengeluarkan deklarasi darurat, Agong boleh membuat keputusannya sendiri.
Selepas itu, Privy Council memutuskan Agong wajib mengikut nasihat Perdana Menteri. Oleh sebab Privy Council adalah mahkamah tertinggi Malaysia pada masa itu, penghakiman itu menjadi undang-undang di Malaysia.
Selepas itu, rayuan ke Privy Council dimansuhkan. Mahkamah Persekutuan menjadi mahkamah tertinggi Malaysia. Sepatutnya, Mahkamah Persekutuan boleh menimbang semula isu itu. Tetapi, kita telah pinda Perkara 150.
Akibatnya, keputusan yang dibuat dalam Teh Cheng Poh itu tidak boleh dihujahkan semula dan dipertimbangkan semula Mahkamah Persekutuan sama ada hendak dikekalkan atau tidak. Maka, terikatlah kita dengan keputusan itu untuk selama-lamanya.
Agong telah membincang cadangan Perdana Menteri untuk mengeluarkan proklamasi darurat itu dengan Raja-Raja Melayu dan membuat keputusan menolaknya. Di sisi undang-undang, tindakan itu adalah salah. Tetapi, ia tidak boleh dicabar di mahkamah. Maka ia akan kekal.
Keputusan itu telah disambut baik oleh seluruh rakyat dan parti politik, termasuk parti politik yang menyokong kerajaan PN (melainkan Bersatu), apatah lagi parti-parti politik pembangkang. Parti-parti politik pembangkang gembira kerana Perdana Menteri gagal menyelamatkan diri daripada kemungkinan kalah undi tidak percaya mereka.
Tetapi, adakah mereka tahu atau sedar bahawa Agong telah membuat satu precedent yang mungkin mereka pula tidak suka jika mereka berada di pihak kerajaan dan mereka yang meminta proklamasi darurat dibuat? Kegembiraan mereka mungkin memakan diri tetapi tidak ada apa yang boleh dibuat untuk mencabar keputusan itu.
Bagaimana reaksi Dr Mahathir yang meminda Perkara 40 dengan memasukkan Fasal (1A) untuk memastikan Agong mengikut nasihat Perdana Menteri? Kali ini mungkin beliau juga gembira Agong tidak mengikut Perdana Menteri kerana Perdana Menteri itu bukan beliau.
Soalannya, mengambil kira reaksi rakyat Malaysia itu, ditambah dengan hujah undang-undang yang saya telah berikan, tidakkah sepatutnya kita terima amalan baharu yang dicipta oleh Agong ke XVI itu dan kebebasan baginya membuat keputusan itu?
Saya fikir ‘Ya’. Biar apa pun ia tidak boleh dicabar di mahkamah lagi. Amalan itu akan menjadi precedent yang akan diikuti pada masa hadapan.
Saya yakin, dalam mengeluarkan deklarasi darurat, suatu keputusan yang dibuat oleh Agong selepas berbincang dengan Raja-Raja Melayu adalah lebih selamat kepada negara daripada Agong hanya mengikut kehendak Perdana Menteri.
Apa yang berlaku ini adalah satu perkembangan yang baik. Bayangkan jika Agong mengikut nasihat Perdana Menteri dan mengeluarkan deklarasi darurat sedangkan rakyat percaya ia dilakukan untuk mengelak Perdana Menteri daripada menghadapi undi tidak percaya.
Agong akan dilihat sebagai bersekongkol dengan Perdana Menteri untuk menyelamatkan kedudukan Perdana Menteri dengan menggunakan deklarasi darurat. Apabila keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Raja-Raja Melayu, integriti institusi Raja-Raja Melayu turut terjejas.
Tetapi, Seri Paduka tidak boleh berbuat demikian di mana terdapat kata-kata ‘atas nasihat’ atau peruntukan itu silent mengenainya kerana, dalam keadaan itu, peruntukan Perkara 40(1) terpakai yang bererti Agong hendaklah mengikut nasihat.
* Tun Abdul Hamid Mohamad ialah mantan Ketua Hakim Negara