KUALA LUMPUR - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bercadang untuk meningkatkan jumlah hukuman denda sehingga RM10 juta berbanding RM100,000 ketika ini kepada pihak yang disabitkan dengan kesalahan mencemarkan alam sekitar dan sumber air.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah itu antara perkara yang sedang dikaji kementeriannya dalam usaha untuk mencegah sebarang unsur pencemaran sungai.
Beliau berkata, ketika ini KASA belum bercadang untuk meminda akta alam sekitar dengan mengenakan penjara mandatori kepada pihak yang disabitkan dengan kesalahan tersebut.
"Sebagaimana yang saya maklumkan hingga setakat ini kementerian tidak bercadang sampai tahap penjara mandatori tapi meningkatkan kadar hukuman.
"Sebagaimana contoh hukuman yang ada hari ini adalah RM100,000 (dan) kita cadang untuk meningkatkan sampai RM10 juta.
"Demikian juga untuk hukuman penjara sebelum ini penjara setahun dan kita kaji untuk tingkat hukuman penjara sampai 15 tahun," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) berhubung sama ada kerajaan bercadang untuk mengenakan penjara mandatori kepada pesalah yang melakukan pencemaran alam sekitar dan air.
Mengulas lebih lanjut, Tuan Ibrahim berkata, dengan meningkatkan jumlah denda dan penjara itu dilihat memadai dalam menangani pencemaran terhadap sumber utama itu.
"Saya fikir dengan peningkatan ini (jumlah denda) atau kedua-duanya sekali, kita yakin ia mampu mencegah unsur pencemaran sungai tersebut," katanya.