SHAH ALAM - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kecoh apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) didakwa telah melanggar etika pakaian pada sesi hari ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri Ng Suee Lim berkata, sepatutnya ADUN menghormati etika pemakaian yang dibenarkan dalam sesi persidangan.
"Semalam saya telah menegur beberapa ADUN mengenai etika pemakaian dan mereka berjanji akan mengikutinya, namun malangnya pada hari ini mereka mengingkari apa yang dijanjikan.
"Bukan sahaja dewan malah kepada media, jadi saya berharap agar semua patuh terhadap ketetapan dewan mengenai etika pemakaian, jangan lagi dijadikan perkara ini sebagai isu," katanya.
Terdahulu, sesi dewan kecoh apabila Speaker menegur beberapa ADUN daripada BN yang bertindak memakai baju Melayu pada sesi hari ini.
Bagaimanapun Suee Lim memuji Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) apabila mematuhi etika pakaian pada hari ini.
Semalam, pembukaan Sidang DUN Selangor sedikit kecoh apabila Suee Lim menegur tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang memakai baju kebangsaan.
Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang berkenaan ialah Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong), Zakaria Hanafi (Semenyih), Datuk Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang), Rizam Ismail (Sungai Air Tawar) dan Ahmad Yunus (Sijangkang).
ARTIKEL BERKAITAN: Pembukaan DUN Selangor kecoh