Sarawak bakal jadi hab terbesar nanas premium negara

Iklan
Foto Bernama

KUCHING - Siapa sangka Sarawak yang menyumbang kepada 98 peratus keseluruhan pengeluaran lada hitam nasional kini melebarkan sayap dan bakal menjadi hab penanaman nanas terbesar di negara ini.

Semuanya bermula dengan projek perintis nanas premium jenis Milie Dilard 2 (MD2) pertama di Sarawak hasil kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan seorang pengusaha tempatan di Kampung Padang Pan di Balingies, Bau dengan tujuan menjadikan ia sebagai model ikutan bagi pengusaha lain yang berminat.

Iklan
Iklan

Dengan peluang terbuka luas serta sokongan penuh daripada kerajaan negeri terhadap pembangunan industri nanas di Sarawak tidak mustahil Sarawak akan menjadi negeri terbesar pengeluar nanas di negara ini, yang kini menyasarkan peningkatan keluasan tanaman kepada 3,500 hektar pada 2020.

Menurut LPNM, keluasan tanaman nanas di negeri ini pada 2017 adalah seluas 1,342 hektar dengan jumlah pengeluaran 38,025 tan membabitkan nilai pengeluaran RM48.22 juta.

Iklan

Penanaman nanas di Sarawak adalah yang kedua terbesar selepas Johor, menurut badan itu.

Timbalan Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya, Sarawak berpotensi besar menerokai penanaman nanas kerana keserasian tanahnya.

Iklan

"Sarawak mempunyai tanah berbukit yang luas yang belum diteroka dan projek perintis nanas premium di Kampung Padang Pan telah menjadi bukti bahawa tanah di sini sangat sesuai untuk tanaman itu,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata di peringkat LPNM, mereka bertungkus-lumus menggiatkan usaha mempromosi dan memperkenalkan nanas jenis MD2 kepada masyarakat setempat.

"Permintaan nanas pada peringkat domestik (di Sarawak) tidak mempunyai masalah kerana kalau kita lihat di pasar raya tempatan, harga nanas contohnya jenis Moris, Josapine dan Gandul boleh naik sehingga RM15 sekilo (nanas bukan premium) dan penawaran tidak dapat memenuhi permintaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini Malaysia menghadapi kekurangan dalam mengeksport nanas MD2 terutama ke China dan negara di Timur Tengah.

Khairuzamri berkata, China memerlukan sebanyak 100 kontena sebulan manakala ketika ini, Malaysia hanya mampu membekalkan purata tujuh kontena dalam sebulan ke negara itu.

"Inilah peluang Sarawak. Kedudukan geografi negeri ini dengan China lebih dekat jika dibandingkan dengan semenanjung sekali gus dapat mempercepatkan tempoh penghantaran serta menjimatkan kos.

"Perjalanan dari Sarawak ke China hanya mengambil masa selama enam hari manakala jika dari semenanjung, ia mengambil masa selama 11 hari. Secara tidak langsung, nanas MD2 dari Sarawak mempunyai jangka hayat dan boleh berada di pasaran China lebih lama dan berada dalam tahap kesegaran yang tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata cuma kerajaan negeri harus berikan fokus sedikit dari segi prasarana, logistik dan kemudahan di pelabuhan supaya semuanya berjalan lancar.

"Permintaan China itu pun bukan cakap kosong, ia mempunyai Perjanjian Persefahaman (MoU) dan ditandatangan oleh kerajaan Malaysia dan China pada 2017,” tambahnya.

Sementara itu, menurut LPNM, pihak Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (MOA) telah menyalurkan peruntukan yang agak besar bagi program pembangunan nanas di Sarawak.

Bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020), Sarawak menerima peruntukan keseluruhan untuk sektor nanas sebanyak RM40 juta, iaitu RM25 juta untuk LPNM dan RM15 juta untuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu - Kalaka Saribas. - Bernama