Calon SPM dalang curi motosikal

Iklan
Mulkiaman (dua dari kiri) menunjukkan rangka dan komponen motosikal yang dirampas di IPD Padang Terap hari ini.

KUALA NERANG - Polis berjaya menumpaskan Geng Bing Garage yang aktif mencuri motosikal di sekitar daerah Padang Terap sejak awal tahun ini pada Sabtu lalu.

Seramai sembilan ahli kumpulan termasuk ketuanya berusia 14 hingga 17 tahun ditahan hasil maklumat orang ramai.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, semua suspek yang masih bersekolah di dua buah sekolah di daerah ini dipercayai berinteraksi melalui grup WhatsApp untuk melakukan kegiatan mencuri motosikal.

Menurutnya, pada awalnya, polis berjaya menahan ketuanya yang berusia 17 tahun yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Iklan

"Hasil soal siasat polis menahan lapan ahli kumpulan itu melalui lima tangkapan dan kini polis masih lagi memburu empat ahlinya.

"Polis berjaya menyelesaikan 10 kes curi di daerah Padang Terap dan percaya beberapa lagi kes dapat diselesaikan selepas tertangkap semua ahli kumpulan ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap hari ini.

Iklan
Mulkiaman (kanan) menunjukkan sebuah motosikal yang telah dibuka komponen oleh geng Bing Garage di IPD Padang Terap hari ini.

Mulkiaman berkata, pihaknya merampas tujuh rangka motosikal, dua buah motosikal dan dua set enjin motosikal daripada kumpulan tersebut.

"Modus operasi kumpulan ini adalah bergerak pada waktu malam sehingga subuh.

"Komponen dari motosikal yang dicuri dijual kepada kenalan malah ada yang dijual sehingga ke Pulau Pinang. Ada juga rangka motosikal yang tidak terjual akan dibuang ke dalam sungai di sekitar daerah ini bagi melupuskan bukti," katanya.

Beliau berkata, tangkapan kumpulan jenayah curi motosikal tersebut adalah yang terbesar di daerah Padang Terap pada tahun ini.

"Pada tahun ini sahaja dilaporkan sebanyak 22 kes motosikal hilang di daerah ini. Kita harap dengan lumpuhnya kumpulan ini maka kejadian curi motosikal tidak berlaku lagi," katanya.

Katanya, semua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.