SHAH ALAM- Kerajaan negeri tidak bercadang menggunakan sumber air di Tasik Putrajaya sekiranya negeri ini berdepan dengan pencemaran sungai.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, setakat ini tiada keperluan mendesak untuk berbuat demikian.
"Walaupun Tasik Putrajaya dijangka mampu membekalkan air kepada Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih untuk tempoh sehingga 17 hari, namun belum ada keperluan untuk menggunakan sumber berkenaan.
"Cadangan penggunaan air dari Tasik Putrajaya apabila berlaku sebarang kecemasan atau pencemaran adalah di luar bidang kuasa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) di Dewan Undangan Negeri Selangor berkaitan sama ada Tasik Putrajaya boleh menjadi sumber air kecemasan apabila berlaku pencemaran di 'intake' Sungai Semenyih.
Katanya, ketika ini Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah membuat permohonan kepada kementerian untuk menggunakan air dari tasik berkenaan.
"Permohonan itu termasuk geran pelaksanaan projek pembetungan dan pengepaman daripada Tasik Putrajaya ke LRA Semenyih.
"Bagaimanapun, sehingga kini difahamkan Air Selangor belum menerima maklum balas mengenai permohonan berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, jelasnya, kajian lanjut mendapati LRA Semenyih dapat beroperasi secara maksimum jika berlaku pencemaran di Sungai Semenyih dengan menggunakan Kolam A, B dan C berhampiran loji.
"Bagaimanapun sedikit pengubahsuaian perlu dilakukan di kolam berkenaan.
"Selain itu Luas juga sedang meneliti kemungkinan terdapat kolam-kolam di sekitar Sungai Semenyih yang boleh dimanfaatkan untuk menangani isu kecemasan atau pencemaran sumber air," katanya.