JOHOR BAHRU - Polis menyerbu dua buah rumah dan menahan tujuh lelaki yang terlibat dengan kegiatan ah long di sebuah pangsapuri di Senibong di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan pada jam 7.45 pagi itu dijalankan sepasukan tiga pegawai dan 12 anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah.
Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berusia antara 21 hingga 25 tahun.
"Dalam serbuan pertama, kita menahan tiga lelaki dan merampas wang tunai berjumlah RM9,000, nombor plat palsu, tong cat, buku nota hutang dan sim kad nombor Singapura.
"Sementara dalam serbuan kedua empat lelaki ditahan dan merampas wang tunai RM3,000, risalah iklan, kad nama, cat merah serta telefon bimbit," katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai serbuan berkenaan.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Datuk Md Yusof Ahmad.
Sinar Harian difahamkan dua rumah di pangsapuri berkenaan dijadikan tempat tinggal dan tempat pengurusan untuk menjalankan aktiviti ah long.
Ayob Khan berkata, sindiket berkenaan dipercayai mula bergiat aktif di sekitar bandar raya ini sejak tahun lalu.
Katanya, berdasarkan siasatan awal kesemua suspek ditahan menerima gaji bulanan berjumlah RM2,500 untuk menjalankan kerja-kerja ah long termasuk melakukan ugutan terhadap mangsa.
"Ini merupakan operasi ketiga yang dilakukan melibatkan sindiket ah long di mana sejak Januari, seramai 49 suspek telah ditahan dan 54 kertas siasatan dibuka dengan 27 daripadanya mereka telah dikenakan tindakan undang-undang," katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat saki baki anggota sindiket ah long itu atau berkaitan dengan tujuh yang ditangkap hari ini.
Sementara itu, Md Yusof berkata, modus operandi sindiket ini dipercayai dengan membuat ugutan secara berperingkat bagi menakut-nakutkan mangsa yang membuat pinjaman dengan mereka.
Beliau berkata, peringkat pertama, mereka akan menampal gambar mangsa di kediaman untuk memalukan mangsa sebelum bertindak menyimbah cat merah pada peringkat seterusnya.
"Sekiranya mangsa masih tidak membayar, sindiket ini akan membakar bahagian pintu kediaman mangsa. Ada antaranya yang turut bertindak mengunci pintu pagar kediaman mangsa," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506, 427, 435/436 Kanun Keseksaan, Seksyen 5(2) Akta Pemberian Pinjaman Wang 1951 serta Akta Pencegahan Jenayah 1959.