Mendasari rezeki pemberian ALLAH SWT

Iklan
USTAZ MOHD NOOR HISYAM AHMAD
SETIAP manusia yang hidup memerlukan harta dalam meneruskan kehidupan sehariannya di muka bumi ini sama ada untuk membeli pakaian, makanan, tempat tinggal dan sebagainya.

Salah satu cara untuk memperoleh harta tersebut ialah melalui pekerjaan. Bahkan dalam Islam, mencari pekerjaan itu amat dituntut bagi menyara diri dan keluarga.

Nabi SAW bersabda:"Seseorang daripada kamu mengambil tali, kemudian pergi ke bukit, lalu memikul seberkas kayu api atas belakangnya untuk dijual, dengan itu ALLAH menyelamatkan air mukanya daripada kehinaan, lebih baik baginya daripada menadah tangan memohon sedekah daripada manusia, sama ada permohonannya itu diberi atau tidak.” (Riwayat al-Bukhari).

Namun begitu, dalam agama Islam, pemilihan pekerjaan amat dititik beratkan. Ini kerana pemilihan pekerjaan itu akan mempengaruhi halal atau haram pendapatan yang bakal diperoleh kelak.

Nabi SAW memberi ancaman kepada mereka yang tidak mengambil berat akan halal haram setiap pendapatan yang mereka terima di dunia ini.

Sabda Nabi SAW:"Orang yang paling rugi di hari kiamat kelak adalah orang yang mencari harta secara tidak halal sehingga menyebabkan dia masuk neraka”. (Riwayat Bukhari)

Selain itu, dalam menjalankan pekerjaan, agama Islam menggariskan beberapa panduan untuk kita patuhi agar keberkatan rezeki yang kita terima itu terjaga.

Antaranya, kita hendaklah bersikap jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab kita sebagai pekerja. Kita juga haruslah menjaga pergaulan bila berurusan dengan rakan sekerja yang berlainan jantina, menghormati antara satu sama lain, menjauhi sikap berdengki sesama sendiri dan menjauhi segala larangan yang ALLAH tetapkan dalam kehidupan seharian kita.

Ini kerana, keberkatan sesebuah rezeki itu bukanlah bergantung kepada banyak atau sedikit gaji yang kita terima pada setiap hujung bulan. Tetapi keberkatan itu adalah bila mana kita merasa cukup dengan apa yang kita peroleh.Keberkatan sebuah rezeki itu bukan bergantung kepada banyak atau sedikit gaji yang kita terima tetapi keberkatan itu dirasai apabila kita merasa cukup dengan apa yang kita peroleh”.