Agong perkenan pelantikan tiga anggota Pesuruhjaya EAIC

Iklan
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan tiga anggota Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 November lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Tan Sri Mahmood Adam, Tan Sri Datuk Aziah Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

"Pelantikan ini melengkapkan barisan Pesuruhjaya EAIC sedia ada yang diterajui Pengerusi, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Timbalan Pengerusi, Tan Sri Datuk Zainun Ali; Datuk John Louis O’hara dan Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod,” katanya.

Muhyiddin berkata, pelantikan tiga anggota Pesuruhjaya EAIC itu mengikut Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

Bagi pihak kerajaan, Perdana Menteri berkata, pelantikan barisan Pesuruhjaya EAIC ini pasti akan terus memacu matlamat dan komitmen EAIC untuk memartabatkan integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan seliaan.