WASHINGTON - Hari pengundian bagi Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS) bermula Selasa pagi dengan undian pertama di Dixville Notch dan Millsfield, dua bandar kecil di bahagian timur laut New Hampshire, lapor agensi berita Xinhua.
Pengundi memilih calon pilihan mereka untuk presiden AS dan gabenor New Hampshire serta kerusi perundangan persekutuan dan negeri yang secara tradisi sejak 1960 bermula di Dixville Notch.
Di"Bilik Mengundi" sementara di Dixville Notch's Balsams Resort, Les Otten, seorang daripada lima pengundi tempatan berdaftar menjadi pengundi pertama.
Otten yang mengaku dirinya sebagai"Republikan seumur hidup," berkata, kali ini memilih calon presiden Demokrat dan bekas wakil Naib Presiden AS Joe Biden, yang mencabar Presiden Donald Trump.
"Saya tidak setuju dengannya dalam banyak isu," kata Otten mengenai Biden dalam video yang disiarkan di Twitter sebelum pengundian.
"Tetapi saya percaya sudah tiba masanya untuk mencari apa yang menyatukan kita berbanding apa yang memecahbelahkan kita."
Pilihan Raya AS 2020, yang turut menyaksikan persaingan presiden dan kongres, berlaku ketika pandemik koronavirus (Covid-19) melonjak di negara ini, dengan lebih 9.2 juta kes dan lebih 230,000 kematian dilaporkan pada Isnin, kedua-duanya tertinggi di dunia.
Pandemik itu telah menyumbang kepada jumlah pengundian awal yang belum pernah terjadi sebelum ini.
Lebih 97 juta rakyat Amerika mengundi awal atau undi pos, menurut laman web Projek Pilihan Raya AS.
Ditambah dengan ramai pengundi bimbang keadaan negara semakin berpecah belah kerana persaingan sengit parti politik, keganasan konflik antara kaum dan ketidakadilan sosial yang semakin buruk. - Bernama