KUANTAN - Seorang beliawanis daripada Persatuan Kelab- kelab Belia Malaysia (MAYC) Pahang menyifatkan kemenangan tempat pertama pada Anugerah Perdana Belia Negara 2020 negeri Pahang sebagai pengiktirafan tertinggi buat dirinya sepanjang 18 tahun terlibat sebagai sukarelawan.
Nurliana Mohamad, 31, yang merupakan Ketua Serikandi MAYC Pahang yang dinobatkan tempat pertama pada Anugerah Belia Negara 2020 peringkat kebangsaan baru-baru ini tidak menyangka terpilih menerima pengiktirafan itu.
Menurutnya, penganugerahan tersebut sangat bermakna untuk insan kecil sepertinya dan berazam untuk terus membantu serta memperkasakan golongan belia sebagai usahawan dengan mengurangkan pengangguran.
"Ini impian saya (untuk menang anugerah belia) dan alhamdulillah mimpi saya telah tercapai dan sekali gus sebagai motivasi untuk terus menyumbang kepada negara.
"Kemenangan di peringkat kebangsaan adalah hadiah yang mahu saya berikan kepada Pahang sebagai inspirasi kepada bukan sahaja belia Pahang tetapi belia di seluruh Malaysia," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya majlis Anugerah Perdana Belia Negara 2020 negeri Pahang di Dewan Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.
Majlis perasmian dan penganugerahan itu telah disampaikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sementara itu, bagi pemenang anugerah tempat pertama kategori individu lelaki, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, 31, berkata, anugerah yang dimenangi di peringkat Pahang dan tempat pertama anugerah belia di peringkat Kebangsaan memberi semangat kepada dirinya untuk terus berbakti kepada masyarakat.
Menurutnya, dia tidak menyangka penyertaan dalam pertandingan itu memberi rezeki kepadanya sekali gus membanggakan negeri Pahang.
"Saya sekadar mencuba nasib... terpilih untuk menang atau tidak itu soal lain kerana calon yang bertanding di peringkat kebangsaan hebat- hebat belaka dan ada di antara mereka juara di peringkat negeri.
"Tapi alhamdulillah rezeki itu berpihak kepada saya dan Pahang ada dua wakil daripada belia yang turut menang di tempat pertama," katanya yang memegang jawatan sebagai Penolong Setiausaha Majlis Belia Pahang.
Mohd Izzat Afifi berkata, untuk meraih penganugerahan ini bukan sesuatu yang mudah, kerana setiap kepimpinan perlu bermula dari bawah.
Jelasnya, perkara yang paling penting apabila terlibat dengan sukarelawan ialah tidak putus asa dan sentiasa konsisten dengan apa yang dilakukan sehingga sampai ke peringkat lebih tinggi.
"Untuk capai tahap ini, setiap pemimpin dalam sukarelawan perlukan masa hingga 20 tahun, jika mereka konsisten dan istiqamah serta tambah ilmu dalam bidang yang diminati, kita pasti akan menerima pengiktirafan," katanya.