Budak tiga tahun terperangkap selama 91 jam ditemui hidup

Iklan
Ayda ketika dibawa keluar dari bawah runtuhan bangunan di daerah terjejas teruk akibat gempa kuat di Bayrakli. - Foto Agensi

BAYRAKLI - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun berjaya dibawa keluar hari ini selepas terperangkap selama 91 jam di bawah bangunan yang runtuh dalam kejadian gempa kuat yang melanda barat Turki pada Jumaat lalu.

Pasukan penyelamat yang berhempas-pulas menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari keempat itu turut melaungkan 'ALLAH Maha Besar' ketika mengeluarkan mangsa dikenali sebagai Ayda Gezgin di lokasi terjejas teruk di Bayrakli.

Iklan
Iklan

"Kami telah menyaksikan keajaiban dan namanya Ayda. Anda telah memberi harapan baharu kepada kami. Syukur ke hadrat ALLAH. Semoga cepat sembuh wahai si kecil," kata Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menerusi Twitter.

Mangsa yang dibaluti selimut kerajang emas turut memanggil ibunya sementara menunggu ketibaan ambulans.

Iklan

Terdahulu, pasukan penyelamat memaklumkan usaha untuk mengesan kanak-kanak itu dipergiat selepas menerima isyarat ada mangsa masih hidup terperangkap di bawah runtuhan blok bangunan terbabit.

Operasi SAR itu diteruskan sehari selepas seorang kanak-kanak berusia empat tahun dan 14 tahun ditemui masih hidup di daerah sama.

Iklan

Sehingga kini, Ankara telah merekodkan hampir 1,500 gempa susulan termasuk 44 yang mencatatkan gegaran berkekuatan lebih empat magnitud.

Gempa 7.0 pada skala Richter itu turut menyebabkan kemusnahan besar di bandar Izmir dan angka kematian telah mencecah sekurang-kurangnya 105 orang.

Gegaran itu juga dirasai di Istanbul dan meragut dua nyawa di Athens selain mencetuskan gelombang tsunami berskala kecil di Izmir. - AFP