NEW DELHI - Badan industri di India melancarkan kempen menggalakkan rakyat negara itu untuk menambah pengambilan gula ketika kebanyakan negara mengambil langkah sebaliknya atas faktor kesihatan.
Persatuan Kilang Gula India (ISMA) memaklumkan mereka mahu membongkar mitos tentang gula dan kesannya kepada kesihatan.
ISMA turut menerbitkan artikel pendek di laman web mereka bertajuk 'Makan, minum dan Jadi Sihat: Sedikit gula tidak beri kesan buruk'.
Selain itu, ia juga melancarkan kempen dalam talian termasuk bengkel yang memaparkan chef selebriti dan jurulatih kesihatan yang berkongsi resipi manisan membincangkan gaya kehidupan yang sihat.
Menerusi perkongsian mereka, ia mendakwa pengambilan manisan tiruan sebenarnya tidak membantu dalam usaha penurunan berat badan malah ia memberi kesan kepada kesihatan.
Ketika pelancaran kempen itu, Setiausaha Makanan India, Sudhanshu Pandey berkata, masyarakat sering didedahkan dengan kesan buruk pengambilan gula.
"Terlalu banyak mitos tentang gula dan pengambilan gula tanpa asas saintifik," ujarnya.
Secara purata, penduduk di negara itu mengambil kira-kira 19 kilogram gula setahun yang berada jauh di bawah purata global, namun India masih pengguna pemanis terbesar di dunia secara keseluruhan.
Pengambilan gula secara berlebihan sering dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti dan diabetes.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga bimbang dengan 'gula percuma' yang biasanya ditambah ke dalam makanan atau minuman termasuk madu dan jus buah oleh pengilang. - Agensi