KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta melihat kepada nasib pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat ini, khususnya dalam menempuh tempoh sukar ekoran pandemik koronavirus (Covid-19).
Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md Isa berkata, pelbagai isu terpaksa ditempuhi oleh pelajar dan pengurusan IPTS terutama dalam normal baharu pembelajaran sepanjang pandemik yang kini memasuki gelombang ketiga.
"Bajet ini wajar bersifat inklusif dan mampan memandangkan lebih 51 peratus daripada 1.3 juta pelajar dalam ekosistem pendidikan tinggi berada di 443 IPTS di seluruh negara.
"Sektor pendidikan tinggi swasta telah diakui sebagai industri strategik negara kerana menyumbang RM31.5 bilion kepada pendapatan dan ekonomi negara manakala IPTS menyediakan akses kepada lebih 600,000 tempat di pendidikan tinggi tanpa bergantung kepada dana kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Amir Hamzah berharap agar kerajaan dapat membantu meringankan tekanan kewangan yang dihadapi sejak beberapa bulan lalu.
"Sejak Mac lalu, berlaku penurunan sehingga 60 peratus bagi kemasukan pelajar baharu di semua IPTS bumiputera berbanding tempoh sama pada tahun-tahun sebelumnya.
"Pandemik yang melanda turut memberi tekanan kepada sosioekonomi masyarakat dan banyak keluarga dalam kelompok B40 bersikap berhati-hati untuk mengeluarkan perbelanjaan bagi pendidikan tinggi anak masing-masing,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar kerajaan meneruskan kemudahan Skim Pembiayaan Mudah Jaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (SPiM Penjana) yang ditawarkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) memandangkan Covid-19 dijangka berterusan dalam tempoh yang lama.
"Kita mencadangkan SPiM Penjana diperluas dengan jumlah pembiayaannya ditambah maksimum sehingga RM5 juta bagi setiap IPTS bumiputera yang berkelayakan manakala yang belum sempat memohon dan yang masih memerlukan pembiayaan tambahan boleh mengemukakan permohonan tersebut,” katanya. - Bernama