PENGARAH Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek mahu 24 pemain yang akan beraksi pada playoff Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 mempamerkan karisma dalam membuat keputusan tepat di gelanggang.
Pada kejohanan yang dijadualkan bermula esok sehingga Jumaat ini di Stadium Juara Bukit Kiara, legenda badminton negara itu berharap pemainnya turut fokus mempertingkatkan kemampuan diri mereka.
"Saya nak lihat karisma mereka, sebagai contoh bagaimana mereka bergerak, tahap kecergasan, kawalan bulu tangkis, melakukan sentuhan dan kemahiran teknikal serta mencari mata menggunakan corak taktikal tersebut.
"Menang atau kalah tidak mengapa, apa yang penting mereka menunjukkan karisma seperti telah saya sebutkan dan ia akan membantu dalam menentukan apa lagi yang pemain ini perlukan untuk terus maju,” menurutnya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, juara Kumpulan B perseorangan lelaki Cabaran Ranking Junior Kebangsaan yang berlangsung bulan lalu, Eogene Ewe Eon pula mahu menumpukan kepada latihan meningkatkan stamina dan kelajuan sebelum turun beraksi esok dengan harapan berada dalam keadaan terbaik sepanjang perlawanan untuk memastikan kemenangan.
"Sudah tentu semua pemain dalam kumpulan ini mahukan kemenangan. Pertandingan ini amat bermakna kepada kami kerana dengan ketiadaan kejohanan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pertandingan ini memberi ruang untuk kami lihat ada atau tidak kemajuan sepanjang latihan,” katanya.
Seorang lagi pemain, V. Poopathy pula mahu menebus kekecewaan selepas gagal beraksi dengan baik pada kejohanan sebelum ini apabila sekadar menduduki tangga kesembilan dengan hanya meraih dua kemenangan dalam sembilan perlawanan.
"Ketika itu, tahap keyakinan menurun kerana hampir tewas semua perlawanan tetapi jurulatih, ahli keluarga dan rakan-rakan memberi kata-kata semangat. Sepanjang sesi latihan saya fokuskan kekuatan stamina dan mental ketika di gelanggang. Sudah tentu saya mahukan kemenangan untuk kekal dalam Divisyen 1,” katanya.
Pertandingan itu akan berlangsung secara tertutup melibatkan pemain remaja yang kembali menjalani latihan secara berperingkat di Akademi Badminton Malaysia sejak Julai lepas.