KUALA LUMPUR - Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berharap dapat membariskan kesebelasan terbaik ketika bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi menghadapi cabaran Kedah pada perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia 2020 Jumaat ini.
Dollah mengakui isu kecederaan pemain selain kontroversi perpindahan Mohamadou Sumareh yang mempengaruhi prestasi skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Super musim ini turut menjejaskan persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia.
Beliau berkata, anak-anak buahnya sedia berdepan mana-mana pasukan dalam kempen kejohanan tertua di Asia Tenggara itu, namun hanya kombinasi terbaik dalam pasukan mampu memainkan peranan dalam meraih kemenangan pada setiap perlawanan.
"Semua pasukan saya anggap ada kekuatan seimbang bila melibatkan saingan Piala Malaysia. Apa yang penting bagi saya hanyalah pasukan Pahang. Tumpuan saya adalah pada barisan pemain selepas macam-macam isu timbul yang mengganggu persiapan kita.
Jika saya dapat kesebelasan pemain terbaik saya tidak khuatir untuk bertemu Kedah, kita sudah tahu kelemahan dan kekuatan masing-masing,” katanya.
Pada masa sama, bekas ketua jurulatih kebangsaan itu berkata, kemenangan tipis 2-1 ke atas skuad Lang Merah pada saingan Liga Super, September lepas tidak memberikan sebarang jaminan menjelang pertembungan di Stadium Darul Aman itu.
"Cuma pada malam penentuan, pasukan mana yang memberikan terbaik dan paling kurang melakukan kesilapan, kemenangan akan berpihak kepada mereka. Saya harap nasib juga akan berpihak kepada Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, pemain tengah Pahang, Adam Reed hampir pasti terlepas aksi tersebut apabila masih belum pulih daripada kecederaan pangkal paha sementara beberapa tonggak utama telah kembali menjalani latihan.
Pahang muncul juara Piala Malaysia empat kali dan kali terakhir menjuarainya pada edisi 2014 sementara Kedah turut memenangi Piala Malaysia sebanyak empat kali dengan kali terakhir pada musim 2016. - Bernama