KAWAN saya seorang pecandu wayang. Bukan dia sahaja, isteri dan dua anaknya juga. Dia beritahu saya, hampir setiap hujung minggu dia akan membawa anak isterinya menonton. Itu juga riadah keluarga, katanya.
Koronavirus (Covid-19) mengubah rutin itu. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020, dia berhenti ke pawagam. Mula-nya sebab pawagam ditutup tetapi selepas pawagam dibuka semula pada 1 Julai, ketika PKP berada pada fasa enam (pemulihan), dia masih tidak mendekatinya.
"Tiada makna. Tak boleh bawa anak-anak. Kalau ikut SOP, hanya kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas dibenarkan masuk. Dua-dua anak saya di bawah umur,” katanya.
Dia mengaku, sampai sekarang masih tidak dapat memujuk dirinya bahawa dia perlu belajar hidup tanpa wayang. Saya cadangkan dia menonton di Netflix atau Iflix atau setidak-tidaknya Astro First. Dia kata nikmatnya tidak sama. Dia suka ke pawagam kerana ‘mood’, layar lebarnya dan sistem bunyinya.
"Kalau begitu buatlah home theater di rumah,” saya memberi cadangan.
"Saya tinggal di flat Bandaraya, bos. Ruang tamunya cuma sepetak. Dengan jarak tontonan cuma sejengkal, jiran yang riuh rendah, usah kata home theater, televisyen yang lebih daripada 29 inci pun dah rasa tak sesuai.”
Saya diam tetapi perbualan itu menyedarkan saya tentang satu perkara. Rupa-rupanya yang terjejas kerana Covid-19 bukan hanya penggiat industri tetapi juga kaki wayang macam kawan saya.
Turut ‘terjejas’ teruk tentulah pasangan yang sering menjadikan pawagam sebagai tempat memadu kasih. Dengan SOP yang ditetapkan dengan penonton terpaksa duduk berselang tempat, sudah tentulah pawagam bukan lagi pilihan mereka.
Demikianlah penangan Covid-19. Kesannya terhadap industri filem jelas amat besar. Semua yang terlibat dengan industri itu ‘terpukul’ habis.
Dengan penutupan pawagam untuk suatu tempoh, pembatalan festival-festival filem dan jadual tayangan pembukaan yang dianjak atau dibatalkan, dunia perfileman terus berubah wajah sama sekali.
Tahun lalu, industri filem global dianggarkan menyumbang lebih RM550 bilion dari segi nilainya kepada ekonomi dunia dengan kira-kira RM170 bilion daripadanya datang dari Hollywood. Tahun ini angka-angka itu hanya akan menjadi kenangan yang indah.
Di China sahaja, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, kutipan box office merudum kepada RM16 juta berbanding RM8.8 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Di Jepun, hasil kutipan box office dalam suku pertama tahun lalu mencecah RM9.84 bilion tetapi tahun ini menurun kepada RM779 juta, manakala di Korea Selatan pula dari RM6.56 bilion menjunam kepada RM571 juta. India yang menjadi pusat pengeluaran filem Asia dianggarkan mengalami kerugian kutipan lebih RM530 juta.
Terkesan
Hollywood juga terkesan teruk dengan merekodkan catatan box office terendah dalam tempoh 22 tahun.
Malaysia tidak terkecuali. Beberapa filem yang dijadualkan menemui penonton pada awal tahun ini dibatalkan tayangan. Bulan dan Pria Terhebat yang mula ditayangkan pada 12 Mac terpaksa dihentikan tayangan apabila PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac.
Filem dokumentari bola sepak cacat penglihatan Eye on the Ball yang dijadualkan menemui penonton pada 19 Mac dianjak tempoh tayangan. Begitu juga dengan Escape yang sepatutnya memasuki pawagam mulai 26 Mac.
Roh, Town Mall, Kenderaan Berat Ikut Kiri, Takut Ke Tak adalah antara filem-filem lain yang turut menjadi mangsa keadaan.
Menunda tarikh tayangan memang nampak mudah tetapi kesannya cukup besar.
Wendy Ide, seorang kolumnis di akhbar The Guardian ketika mengulas penjadualan semula tarikh tayangan filem James Bond No Time to Die dari April lalu ke November menyifatkan penundaan tarikh tayangan bagi filem sebesar itu samalah seperti ‘menterbalikkan lori tangki minyak dengan keempat-empat tayar ke atas’. Ia akan menelan banyak kos.
Kesan pandemik itu, pengarah dan pelakon terpaksa melupakan skrip dan lokasi. Jurukamera terpaksa menggantung sementara kameranya.
Begitulah, tiada siapa yang tidak terjejas. Daripada produser hinggalah tukang beli teh tarik pengarah. Daripada pelakon utama sehinggalah pengurusnya, daripada jurusolek hingga pemandu van produksi.
Di Hollywood, industri filem menyediakan pekerjaan kepada lebih dua juta orang dan menjadi medan rezeki kepada kira-kira 400,000 perniagaan. Di Malaysia, saya tidak mempunyai statistik mengenainya, namun saya yakin jumlahnya tidak kecil.
Kita tidak tahu bila pandemik akan berakhir. Satu-satunya yang kita tahu adalah semua yang terlibat dengan industri filem melalui hari-hari yang sukar. Kerajaan memang menyalurkan bantuan, misalnya melalui dana bernilai lebih RM1.3 juta menerusi Skim Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) kepada penggiat industri kreatif dan seni yang terjejas sepanjang PKP.
Angka itu tentulah tidak dapat merawat industri yang cedera parah, namun setidak-tidaknya meringankan. Berita terbaharu yang sampai ke pengetahuan kita adalah mulai bulan ini, operasi semua pawagam di seluruh Malaysia akan dihentikan sementara.
Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) berkata, langkah itu perlu bagi melindungi perniagaan pawagam untuk tempoh jangka panjang kerana industri itu kini berdepan kerugian hasil sebanyak 90 sebanyak sejak Covid-19 mula melanda.
Demikianlah tenatnya keadaan. Persoalannya, apakah nasib penggiat industri filem selepas ini? Atau setidak-tidaknya sehingga pandemik berakhir. Apakah industri filem akan kembali meriah atau tersepit dalam norma baharu yang akan mengubah segala-galanya termasuk penurunan jumlah pengunjung ke pawagam?
Memang benar, ada saluran lain untuk menjual karya. Anak muda kreatif Syazmi Sazli misalnya, memperoleh hasil sehebat kutipan di pawagam menerusi Astro First apabila filem sulung arahannya Mael Totey The Movie mengaut RM4 juta dalam tempoh lapan hari pertama tayangan.
Tetapi saluran yang tersedia tidak banyak. Astro First, Netflix, Iflix tentulah tidak cukup menampung hasil produksi tempatan, yang kebetulan memang rancak berkembang. Akan berebut-rebutkah pengeluar filem kita ke YouTube atau platform lain seumpamanya?
Atau mungkinkah kita akan kembali semula ke era VCD? Atau lebih jauh lagi, kembali kepada cara orang dulu-dulu iaitu dengan menghidupkan semula wayang lengkong? Atau akan bercambahkah platform yang menawarkan sewaan secara digital? Semuanya mungkin.
Tidak hanya itu, penggiat filem juga terpaksa berdepan dengan banyak cabaran lain termasuk protokol penggambaran yang tentunya berbeza terutama dengan adanya SOP.
Penulis skrip dan penulis lakon layar terpaksa memerah otak dalam menentukan kedudukan watak dan jarak. Bagusnya juga ada, adegan peluk-peluk dan cium-cium mungkin semakin tiada.
Apapun, semuanya memeningkan kepala tetapi percayalah, di sebalik kepayahan itu hikmahnya tetap ada. Maka, berusahalah mencari hikmah itu kerana mereka yang menemuinya adalah pemenang sebenar peperangan ini!
* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan