Anih tawar diskaun tol 10 peratus

Iklan

SHAH ALAM - Pengguna Kelas 1, Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) akan menikmati diskaun tol 10 peratus Selasa ini sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Anih Berhad iaitu pemilik konsesi bagi dua lebuhraya tersebut dalam kenyataannya hari ini berkata, pemberian diskaun itu berkuat kuasa dari 12 tengah malam hingga 11.59 malam Selasa.

Iklan
Iklan

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, pemberian diskaun tol itu bertujuan menghargai pengguna Lebuhraya KLK dan LPT 1untuk semua perayaan utama di Malaysia.

”Selain diskaun, syarikat turut mengambil kesempatan sempena sambutan Tahun Babaru Cina ini dengan mengagihkan 1,500 biji buah limau kepada pemandu di Plaza Tol Gombak pada 29 Januari, mulai jam 3 petang sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada pengguna lebuh raya kendalian syarikat,” katanya dalam kenyataan sama.

Iklan

Pihaknya juga turut menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna untuk merancang perjalanan ke negeri-negeri di Pantai Timur sempena cuti sambutan Tahun Baru China ini.

"Waktu-waktu puncak di mana trafik dijangkakan membanjiri Lebuhraya KLK dan LPT1 sempena cuti Perayaan Tahun Baru Cina tahun ini adalah pada 1 Februari (mulai jam kira-kira 9 pagi) dan 4 Februari (mulai jam kira-kira 3 petang) untuk trafik menghala ke pantai timur, manakala pada 9 dan 10 Februari, antara jam 3 petang hingga 12.00 tengah malam (untuk trafik menghala ke arah Kuala Lumpur).

Iklan

"Sehubungan itu, pihaknya menyarankan pengguna yang ingin menuju ke Kelantan dan Terengganu pada 2 dan 3 Februari ini untuk masuk ke lebuh raya sama ada pada jam 6 hingga 10 pagi ATAU antara 5 petang hingga 8 malam.

"Pengguna yang ingin menuju ke Pahang pada tarikh yang sama pula boleh memulakan perjalanan antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang ATAU pada jam 7 petang hingga 11 malam,” katanya.

Tambahnya, untuk kembali semula ke ibu kota antara 8, 9 dan 10 Februari, pengguna dari Pahang boleh memilih sama ada untuk memulakan perjalanan antara jam 6 hingga 10 pagi atau antara 7 petang hingga 11 malam.

"Pada tarikh yang sama, pengguna dari Terengganu pula disarankan untuk memasuki lebuh raya antara jam 8 hingga 11 pagi atau antara 8 hingga 10 malam, manakala pengguna dari Kelantan boleh menggunakan lebuh raya bermula jam 6 petang hingga 10 malam atau antara 9 malam hingga 12 tengah malam,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan tambah nilai kad di lorong tol akan ditutup sekiranya trafik mulai padat bagi mengelak berlakunya kesesakan di plaza tol.

"Sekiranya ingin membuat tambah nilai atau membeli kad TnG, pengguna boleh melakukannya di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) di Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak, Temerloh dan Kuantan dari jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari,” katanya.