Arak, rokok seludup RM1.04 juta dirampas

Iklan
Mohamad (dua dari kiri) menunjukkan minuman keras berkualiti tinggi yang dirampas di sebuah kedai runcit di Ipoh pada sidang media di Wisma Kastam, Ipoh hari ini.

IPOH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perak berjaya merampas arak dan rokok seludup bernilai RM1.04 juta dalam dua serbuan berasingan di Ipoh dan Teluk Intan minggu lalu.

Pengarahnya, Dr Mohamad Saprin berkata, sebanyak 202 botol minuman keras berkualiti tinggi serta 1.4 juta batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama berjaya dirampas oleh Bahagian Penguatkuasaan Kastam.

Iklan
Iklan

"Serbuan pertama dijalankan Jumaat lalu menemukan 202 botol minuman keras dengan nilai termasuk cukai dianggarkan RM40,000 yang disimpan di dalam stor sebuah kedai runcit.

"Dua lelaki warga tempatan lingkungan usia 40-an ditahan bagi membantu siasatan selepas gagal mengemukakan dokumen pembayaran cukai," katanya pada sidang media di Wisma Kastam di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, pihaknya percaya minuman keras berkenaan dijual dengan harga antara 20 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga asal sempena musim perayaan akan datang.

Mohamad berkata, serbuan kedua melibatkan sebuah rumah di Taman Saujana Bakti, Jalan Kampung Banjar, Teluk Intan, Sabtu lalu dan menemukan rokok bernilai RM1 juta yang diseludup dari Indonesia.

Iklan

"Rumah tersebut dijadikan lokasi penyimpanan rokok. Bagaimanapun, tiada suspek yang ditahan dalam serbuan itu dan kesemua eksibit dirampas untuk siasatan.

"Kita masih mengesan pemilik rumah terbabit dan risikan mendapati rokok berkenaan dijual secara terbuka. Rokok diklasifikasikan sebagai dagangan terlarang," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua barangan dipercayai diseludup dari pelabuhan utama negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.